NIBONG TEBAL: Hujan lebat berterusan dan air pasang besar sejak minggu lalu turut menyebabkan banyak kawasan penempatan penduduk dilanda banjir termasuk di sekitar DUN Sungai Bakap, di sini.
ADUN Sungai Bakap, Abidin Ismail yang mesra disapa Abang Abidin dalam mendepani situasi tersebut sememangnya tidak betah untuk berpeluk tubuh sebaliknya proaktif turun ke lapangan.
Bersama para petugas dan sukarelawan daripada Khidmat Malaysia, Jabatan Amal dan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Nibong Tebal, beliau telah menyelaraskan keprihatinan kepada mangsa terjejas.
Usaha menyelaras bantuan bakul makanan disertai sama petugas Pusat Khidmat ADUN Sungai Bakap kepada mangsa banjir melibatkan 54 keluarga telah disantuninya di Kampung Sungai Kechil, di sini semalam.
Dalam kesempatan sama, empat rumah berjaya dibersihkan melalui program CnC (Clean and Clear) dengan kekuatan 50 anggota diketuai Penyelaras Khidmat Malaysia Nibong Tebal, Ustaz Zul Azhar Mohamad di Kampung Che Aminah, di sini.
Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Ustaz Rozali Mohamad dalam pada itu turut menzahir ucapan terima kasih kepada penyumbang dan mengharapkan mangsa banjir tabah menghadapi musibah serta ujian Allah SWT.
Terdahulu kelmarin dahulu, Abidin Ismail bersama Skuad Prihatinnya meluang masa melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Perpindahan Sementara (PPS) Dewan Serba Guna, Sungai Bakap, di sini.
Dalam lawatan itu, beliau menyampaikan sedikit sumbangan untuk meringankan beban ringan mangsa daripada enam keluarga, selain beliau sendiri turun ke beberapa kampung yang terjejas banjir.
Setakat semalam, seramai 72 keluarga ditempatkan di lima PPS dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU), Tengah (SPT) dan Selatan (SPS). – HARAKAHDAILY 22/9/2024

