‘Ketepi politik kepartian, selamatkan Melayu dan Islam’

Muhammad Rafique Rashid Ali
- Advertisement -

KLUANG: Orang-orang Melayu tidak kira mereka daripada parti mana sekalipun harus mengetepikan perbezaan politik dan perjuangkan isu Melayu bermula sekarang.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, perpecahan dalam kalangan orang Melayu telah menyebabkan timbulnya ancaman yang menakutkan kepada orang Melayu.

“Kita kena ketepikan segala perkara ini. Sebab itu saya nak bagitahu kepada rakan-rakan saya yang sedang mendengar. Saya ramai sebenarnya rakan-rakan saya sekarang menjadi menteri, timbalan menteri.

- Advertisement -

“Sama ada dalam Umno mahupun dalam PKR. Tolong dengar perkara ini. Ketepikan politik kepartian, selamatkan Melayu dan Islam. Hari ini ianya harus bermula,” tegasnya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam program ‘Rapat Umum NGO Islam dan Melayu – Ancaman Terhadap Islam dan Melayu’ yang berlangsung di Kampung Melayu, di sini, malam tadi.

Menurut beliau, orang Melayu pada hari ini telah tiba di satu persimpangan di mana sekiranya mereka tidak melakukan sesuatu maka mereka akan hanyut dan ketinggalan.

Tambahnya, peristiwa di mana hak-hak orang Melayu-Islam mula dipertikaikan dan pihak-pihak lain di mana mereka mula menuntut hak yang lebih disebabkan bangsa Melayu mula berpecah dan lemah.

“Mesti kita rasa pelik kenapa selama ni perkara-perkara seperti hari ini tidak pernah berlaku? Tuan-tuan di hadapan saya jauh lebih berusia, jauh lebih berpengalaman dan jauh lebih bijak daripada saya.

“Anda semua pernah mengharungi pelbagai cabaran hidup Malaysia daripada era pemodenan membawa kepada isu krisis ekonomi dulu, membawa kepada isu-isu lain. Anda lebih tahu daripada saya,” katanya.

Jelas beliau isu-isu yang berlaku pada hari ini tidak pernah berlaku sebelum daripada ini kerana sebelum ini orang Melayu itu kuat dari segi pegangan dan kuasa politiknya.

“Masalahnya bila Melayu mula berpecah. Melayu tidak akan menang dan Melayu tidak akan berkuasa, kalau kita tidak ketepikan perbezaan-perbezaan kita yang kecil ini. Kerana kita mempunyai matlamat di hadapan yang jauh lebih besar.

“Bibit-bibit kehancuran Islam dan Melayu di Malaysia telah pun bermula, sama ada kita sedar ataupun tidak, ianya sedang dirancangkan dan ianya sedang giat dijalankan di hadapan mata kita sendiri,” katanya.

Kata Rafique lagi, antara punca yang menyebabkan perkara itu berlaku ialah kerana sikap terlalu taksub kepada pemimpin selain tidak melihat kepada kekuatan diri, agama dan bangsa.

Tegasnya, sesuatu perlu dilakukan sekarang dan ia harus bermula di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang sedang berlangsung sekarang ini.

“Bagaimana? Hantar mesej isyarat yang paling jelas sekali bahawa masyarakat di DUN Mahkota sedang memerhati kerajaan.

“Ianya mesti dilakukan dengan menghantar mesej bahawa PERIKATAN NASIONAL mesti menang di DUN Mahkota,” katanya.

Turut berucap ialah Presiden PERKASA, Syed Hassan Syed Ali, Ahli Parlimen Ketereh, Dato’ Khlir Mohd Nor, Pengerusi Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin (Che GuBard), Presiden Sekretariat KERABAT Kebangsaan, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar dan Ketua Penerangan PERKASA, Irwan Fahmi Ideris

Hadir sama ialah calon PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (DUN) Mahkota Mohamad Haizan Jaafar (Coach Haizan) dan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Dato’ Mahfodz.

PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.

Dalam PRK ini, calon PERIKATAN NASIONAL, ‘Coach Haizan’ ditentang calon BN Syed Hussein Syed Abdullah, 40, yang merupakan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang.

28 September ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka manakala pengundian awal pula akan berlangsung pada 24 September melibatkan tiga pusat mengundi. – HARAKAHDAILY 22/9/2024