KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) berpendirian tiada keperluan untuk menggubal draf Perjanjian Persefahaman (MOU) berhubung peruntukan ahli parlimen.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PN tidak mahu MoU menjadi satu peraturan pada masa hadapan apabila pemberian peruntukan yang akan diberikan oleh kerajaan kepada pembangkang memerlukan satu perjanjian.
Menurutnya, ini menggambarkan kerajaan tidak mengiktiraf pilihan rakyat sehingga memerlukan kepada suatu perjanjian.
“Langkah seperti ini bukan cara menambah baik sistem demokrasi di negara ini, malah ia amat jelas merupakan suatu langkah mundur ke belakang.
“Sepatutnya, walau tanpa perjanjian, peruntukan kepada semua wakil rakyat perlu disalurkan kerana menghormati peruntukan perlembagaan, undang-undang negara dan peraturan Dewan Rakyat (standing order) yang semua ahli parlimen bersumpah akan menjunjung dan mempertahankannya,” katanya dalam satu kenyataan di laman media sosial, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, suatu yang mengaibkan kepada Kerajaan Pusat apabila negeri-negeri, terutama yang diperintah oleh PAS boleh mengagihkan peruntukan tanpa sebarang perjanjian kepada semua wakil rakyat tanpa mengambil kira parti kerajaan atau pembangkang.
“Parlimen dan Kerajaan Pusat sepatutnya menjadi model untuk dicontohi di peringkat negeri, bukan sebaliknya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan menunaikan janji yang telah dijadikan manifesto Pakatan Harapan (PH) atau ia akan mengesahkan kerajaan hari ini adalah Kerajaan Pembohong. – HARAKAHDAILY 21/9/2024