Mangsa banjir Kedah meningkat ke 7,839 orang

- Advertisement -

ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat ke 7,839 mangsa melibatkan 2,477 keluarga, sehingga 1:00 tengah hari ini, berbanding 7,494 (2,445 keluarga) yang direkod pada 8:00 pagi tadi.

- Advertisement -

Kesemua mangsa berkenaan ditempatkan ke 43 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang, Kuala Muda, Bandar Baharu dan Pokok Sena.

Berdasarkan Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Kota Setar mencatatkan peningkatan kepada 3,470 mangsa daripada 1,131 keluarga, berbanding 3,292 mangsa dari 1,072 keluarga pagi tadi di 14 PPS kawasan tersebut.

Daerah Kubang Pasu turut mencatatkan pertambahan seramai 1,869 mangsa (597 keluarga) berbanding 1,811 mangsa daripada 664 keluarga di 11 PPS.

Bagi daerah Pendang, jumlah mangsa juga direkodkan meningkat daripada 1,127 ke 1,291 mangsa membabitkan 385 keluarga, di sembilan PPS, begitu juga Daerah Bandar Baharu meningkat kepada 138 mangsa (32 keluarga).

Berbeza dengan Daerah Pokok Sena yang mencatatkan sedikit penurunan, daripada 952 mangsa kepada 889 orang di lima PPS setakat tengah hari ini.

Sementara Daerah Kuala Muda, masih kekal dengan 184 mangsa daripada 61 keluarga di tiga PPS.

Dalam pada itu, berdasarkan laporan melalui laman web Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan empat sungai di dua daerah di negeri ini mencatatkan paras air melebihi tahap bahaya setakat ini.

Jumlah tersebut membabitkan dua sungai di daerah Kota Setar dan dua sungai di daerah Kubang Pasu, sementara Sungai Padang Terap menunjukkan trend menurun.

Manakala tiga lagi sungai iaitu Sungai Bata, Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di Kota Setar menunjukkan trend meningkat.

Sementara menurut laporan sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang, 72 keluarga ditempatkan di lima PPS di daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Manakala jumlah mangsa banjir di Perlis tiada perubahan, kekal 90 orang di tiga PPS setakat ini. – HARAKAHDAILY 21/9/2024