Allah sediakan malam untuk tidur

- Advertisement -

KEPADA Allah, ada hak yang perlu kita tunaikan. Tetapi bagi diri sendiri, ada juga hak yang perlu kita tunaikan. Kita perlu makan, minum dan tidur. Kita juga perlu rehat kerana ia adalah hak tubuh kita. Allah menyediakan malam untuk kita tidur.

Kepada keluarga juga ada hak yang perlu kita tunaikan. Kalau isteri, perlu menjaga makan minumnya, pakaiannya dan layanan kepadanya.

Islam membenarkan kita mengumpulkan harta. Pada masa yang sama, kita perlu mengeluarkan zakat. Sebab kalau mengumpul sahaja, kita akan mabuk harta. Dengan zakat, ia dapat menyucikan harta kita. Cara Islam ajar selalu seimbang.

- Advertisement -

Masalah kita ialah mencari harta sampai lupa nak solat dan tidak mahu mengeluarkan zakat. Ada pula sesetengahnya yang beribadah sampai lupa terhadap isteri. Ada yang tidak bekerja dan mengharapkan isteri sahaja menjual kuih.

Abul A’ala al-Maududi yang merupakan seorang ulama terkenal di Pakistan menulis dan menghuraikan secara terperinci mengenai ‘ummatan wasato’. Beliau menghuraikan ayat 143 Surah al-Baqarah.

Antara yang disebut, kita sebagai umat pertengahan perlu memimpin. Kita perlu memiliki akidah yang kuat, iman yang gagah dan ilmu pengetahuan yang mencukupi. Oleh sebab itu, orang Islam haruslah berilmu, menguasai sains dan teknologi serta pandai berniaga.

Kalau kita asyik bergantung harap pada orang lain, macam mana nak menjadi pemimpin? Kalau menggunakan kereta yang ‘banyak tolak dari naik’, macam mana nak menjadi pendakwah?

Antara yang disebut lagi ialah mengenai Abdul Rahman bin Auf. Beliau merupakan seorang ‘businessman’ yang tersohor. Apabila berhijrah ke Madinah, beliau meninggalkan segala hartanya, anak dan isterinya. Pada suatu hari, beliau termenung bagaimana nak berniaga semula. Ada seorang sahabat datang membantunya dengan memberikan modal.

Dahulu, pasar di Madinah dikuasai oleh orang Yahudi. Orang Islam terpaksa membeli barang keperluan dengan mereka. Apabila beliau mula berniaga di situ, dengan kemahirannya, akhirnya bertambah maju sehingga menjejaskan orang Yahudi.

Orang Islam dahulu lebih cerdik daripada kita sekarang. Mereka tetap akan membeli dengan peniaga Islam selagi boleh. Berbeza dengan kita, walaupun harga berbeza cuma 10 sen, kita masih membeli dengan peniaga bukan Islam. Kita seharusnya mengutamakan peniaga Islam terlebih dahulu. Kalau ada kedai orang Islam, belilah dengannya. Tidak usah berkira dengan 10 atau 20 sen.

Orang Yahudi terpaksa lari dan membuka kedai di tempat lain untuk kelompok mereka sahaja. Sampai ke tahap itu. Akhirnya, seluruh pasar Madinah dikuasai oleh orang Islam. Bermula dengan Abdul Rahman bin Auf. Hebatnya orang Islam pada masa itu.

Begitu juga dengan pendidikan, Mengapa Nabi membuat syarat, tawanan dalam Perang Badar yang nak menebus dirinya tetapi tiada ‘pitis’, Baginda menyuruhnya untuk mengajar budak-budak di Madinah sehingga mereka pandai membaca. Seorang tawanan perlu mengajar 10 orang budak.

Tawanan tersebut tidak akan dibebaskan selagi budak-budak tidak pandai membaca. Inilah cara Nabi meletakkan pendidikan di hadapan. Oleh sebab itu, orang Islam hebat belaka.

Kita boleh belajar daripada orang bukan Islam seperti orang Cina. Selepas anaknya dilahirkan, ibu bapa terus membuka akaun bank untuk anaknya dan menyimpan wang berbulan-bulan. Apabila anaknya sudah berumur 19 tahun, sudah ada berbelas ribu dalam akaun banknya untuk menampung pembiayaan menyambung pengajian ke universiti.

Orang Melayu zaman dahulu pun, ada yang menjual lembu atau kerbau untuk menampung perbelanjaan pengajian anak mereka. – HARAKAHDAILY 21/9/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -