ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor ke Jepun bukan atas hal peribadi atau bercuti, sebaliknya atas urusan rasmi kerajaan negeri, demikian jelas Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman, di sini.
Beliau dan delegasi kerajaan negeri berada di negara matahari terbit itu adalah atas urusan mempelajari pengurusan operasi takungan bawah tanah di wilayah Kumamoto City.
“Ini kerana satu projek alternatif akan dibangunkan di Langkawi untuk mendapatkan bekalan air dari sumber bawah tanah bagi memenuhi keperluan pengguna di Pulau Permata Kedah itu sehingga tahun 2040,” jelas kenyataan itu, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial, kononnya Sanusi sedang bercuti di luar negara bersama isteri tatkala beberapa daerah di Kedah dilanda musibah banjir dan ribut.
Justeru kata kenyataan itu, tuduhan tersebut tidak berasas dan sangat tidak bertanggungjawab, malah bersifat fitnah disebar dalam keadaan sebahagian rakyat negeri ini menghadapi musibah.
Sedangkan, walaupun Menteri Besar berada jauh di sana, namun beliau sentiasa mengikuti perkembangan bagi memastikan beban bencana dihadapi semua mangsa banjir di Kedah ditangani dengan cepat dan berkesan.
“Lagipun ketiadaan beliau (Sanusi) di tanah air tidak akan menjejaskan operasi bantuan kerana agensi kawalan, bantuan dan keselamatan sedia ada di bawah kerajaan negeri dan Persekutuan diyakini mampu menangani situasi dengan efisien,” jelas kenyataan itu lagi.
Sementara, turut serta dalam lawatan sambil belajar itu ialah beberapa pegawai pengurusan dan teknikal Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).
Mengulas lanjut, Pejabat Menteri Besar juga memaklumkan, projek membina takungan air bawah tanah di Langkawi yang dijangka siap pada tahun 2028 adalah yang pertama di Asia Tenggara.
Ianya akan dikendalikan di bawah Bahagian Bekalan Air, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
“Jepun sememangnya memiliki teknologi, kepakaran dan pengalaman yang mencukupi dalam pengurusan empangan bawah tanah. Selain Kumamoto, empangan yang sama juga terdapat di Okinawa.
“Empangan bawah tanah itu amat diperlukan bagi mengatasi masalah bekalan air di Langkawi yang sering terjejas sekali gus mencemarkan imej selaku pulau pelancongan antara yang terbaik di dunia,” katanya lagi.
Dalam pada itu, lawatan tersebut sudahpun diatur sejak keputusan dibuat dalam mesyuarat LSANK bertarikh 1 April 2024, malah delegasi kerajaan negeri juga berangkat ke sana pada 17 September sebelum banjir teruk melanda Kedah. – HARAKAHDAILY 20/9/2024