Saifuddin koyak: Kenyataan dangkal, jijik, sempit, jelik

Saifuddin harus minta maaf kepada Presiden PAS

- Advertisement -

AYER KEROH: PAS Melaka mendesak Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail agar memohon maaf kepada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang atas fitnah yang dilemparkan.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Melaka, Ustaz Ahmad Bilal Rahudin berkata, ia berdasarkan kenyataan politik yang dikeluarkan Saifuddin Nasution bertarikh 17 September baru-baru ini.

“Saifuddin secara jelas telah melanggar prinsip sebagai penjawat awam dan menyalahgunakan kuasa beliau sebagai seorang Menteri.

“Adapun dalam surat tersebut, Saifuddin nampak sangat ‘koyak’ dengan mengeluarkan dakwaan yang dangkal dan fitnah khususnya terhadap Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS .

“PAS Negeri Melaka, melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Saifuddin ini, merupakan satu perbuatan yang tidak waras, jijik, sempit dan cuba menghasut rakyat dengan dakwaan jelik beliau kepada PAS,” katanya.

Beliau menyatakan perkara ini dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook rasmi PAS Melaka hari ini.

Kata Ustaz Bilal lagi, Saifuddin telah menyalahgunakan kuasa beliau sebagai seorang Menteri bagi menjawab isu-isu politik dengan menggunakan kepala surat kementeriannya.

Tegasnya, sebagai seorang Menteri, perkara itu adalah tidak wajar dilakukan beliau dan tindakan tegas perlu dibuat terhadap beliau kerana menyalahgunakan kuasa dan melanggar etika urusan kementerian dan politik beliau.

“Sepatutnya, sebagai seorang Menteri KDN, beliau lebih faham dan perlu banyak mengeluarkan maklumat, dasar baharu atau kenyataan yang membawa kesan baik terhadap kerajaan dan masyarakat.

“Isu warga asing yang semakin meningkat dan pekerja asing yang masih  belum tidak dibawa pulang ke negara masing-masing pun masih belum diselesaikan oleh kerajaan hari ini,” katanya.

Tambah beliau, itu tidak termasuk, dengan isu kebajikan anggota keselamatan di bawah KDN, perumahan anggota, isu kad pengenalan dan banyak lagi isu yang sepatutnya beliau bertanggungjawab untuk menyelesaikannya.

“Oleh yang demikian, Saifuddin perlu bermuhasabah, lihat kemampuan  beliau jika dibandingkan dengan Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS.

“Beliau wajar memohon maaf atas tindakan beliau dalam menyalahgunakan kuasa sebagai seorang Menteri, berhenti membuat dakwaan dan fitnah terhadap PAS dan Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/9/2024