Jangan jadi Kerajaan Jibayah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kerajaan yang berlandaskan Hidayah bermaksud ia berpegang kepada petunjuk Allah SWT dan menegakkan syariat-Nya dalam semua aspek pemerintahan, di mana pemimpin dalam kerajaan ini beriman kepada Allah, berpandukan wahyu dan prinsip keadilan yang benar.”

Pemuda PAS dalam satu kenyataannya berkata, fokus utama kerajaan ini adalah amanah dan adil dalam pemerintahan dengan memastikan kesejahteraan rakyat dengan menegakkan syariat dan melakukan amar makruf nahi munkar.

- Advertisement -

“Mengutamakan keredaan Allah dalam segala tindakan walaupun berhadapan dengan tekanan atau tentangan dari pihak lain. Mereka menekankan prinsip kebenaran dan keadilan serta berani berdepan dengan cabaran demi mematuhi perintah Allah SWT.

“Mereka akan mengelakkan amalan yang membawa kepada rasuah, penindasan atau menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri atau puak tertentu,” katanya. 

Sebaliknya, menurut kenyataan itu, Kerajaan Jibayah menjadikan ekonomi, kekayaan dan hasil harta sebagai teras utama pemerintahan mereka, di mana kepentingan material lebih diutamakan tanpa mengambil kira sama ada cara memperoleh kekayaan itu halal atau haram.

“Fokus kerajaan ini adalah menjaga kepentingan ekonomi dan keuntungan material sebagai rukun pertama. 

“Sanggup melanggar batas agama atau mengabaikan hukum syarak untuk mencapai matlamat ekonomi, mengutamakan keredaan manusia daripada keredaan Allah walaupun dengan cara yang menyalahi syariat.

“Dalam situasi politik semasa, kerajaan yang berlandaskan Jibayah lebih cenderung untuk memperalatkan ekonomi dan kepentingan material demi mendapat sokongan politik,” jelasnya.

Menurut kenyataan itu lagi, golongan ini bergantung kepada bantuan atau pengaruh luar yang kadangkala menjerumuskan negara ke dalam penjajahan ekonomi oleh pihak-pihak tertentu seperti institusi kewangan antarabangsa.

“Ayuh sama-sama kita renungi, adakah dasar-dasar kerajaan sekarang ini berteraskan keadilan dan amanah? 

“Adakah ia lebih berfokus kepada manipulasi ekonomi dan kepentingan material tanpa mengambil kira halal dan haram?

“Adakah kerajaan bertindak dengan istiqamah dalam menegakkan syariat Islam atau mereka tunduk kepada tekanan politik dan ekonomi yang akhirnya merugikan rakyat dan menyalahi hukum Allah? 

“Mari duduk sejenak dan renungkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/9/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -