ADUN gesa pelihara kebersihan demi kelestarian alam

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor, menyeru rakyat Terengganu agar memikul tanggungjawab bersama dalam memelihara alam sekitar, terutamanya aspek kebersihan.

Beliau berharap agar rakyat terus menjaga kebersihan di mana sahaja mereka berada, selari dengan jolokan negeri Terengganu sebagai ‘Darul Iman’.

“Terengganu adalah sebuah negeri bertuah yang dianugerahkan dengan pesisir pantai sepanjang 244 kilometer, selain jeram, air terjun, dan pulau-pulau dengan litupan karang antara yang tercantik di dunia.

- Advertisement -

“Semua ini adalah amanah dan tanggungjawab kita untuk dipelihara,” katanya dalam ucapan perasmian program KT Walk & Plog anjuran KT Care di Pantai Pandak, di sini, hari ini.

Beliau berkata, program itu diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menjaga kebersihan pantai serta kawasan sekitarnya.

Zuraida turut mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur dan berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan demi kelestarian alam sekitar dan ekopelancongan di negeri Terengganu.

“Tahniah KT Care atas penganjuran program ‘KT Walk & Plog’ di Pantai Pandak, Kuala Terengganu.

“Semoga rakyat Terengganu menjadi masyarakat yang bertanggungjawab dengan menjaga kebersihan walau di mana pun berada, sesuai dengan jolokan ‘Darul Iman’,” katanya.

Beliau berkata, komitmen masyarakat terhadap kebersihan amat penting untuk memastikan Terengganu kekal menjadi destinasi pilihan bagi pelancongan. – HARAKAHDAILY 20/9/2024

- Advertisement -