JAM 9:00 pagi tanggal 16 September 1931 orang tua yang sudah uzur itu dibawa ke tempat penggantungan dengan tangan bergari dan kaki dirantai.
Seramai 20,000 tahanan turut dibawa dari beberapa buah pusat tahanan untuk dipertontonkan kepada mereka hukuman mati pemimpin mereka.
Penjajah Itali tahu, tahanan-tahanan ini sayangkan Umar Mokhtar. Dia guru mereka.
Puluhan tahun mengajar Al Quran. Mula mengangkat senjata menentang penjajah Itali pada usia 53 tahun.
Sempat berjihad selama 20 tahun sebelum ditangkap dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Digelar sebagai asad as-sahra’ (singa padang pasir), syaikhul mujahidin (pemimpin mujahidin) dan syaikhus syuhada’ (pemimpin para syuhada’).
Hari itu usianya sudah mencecah 73 tahun. Tenaganya sudah tidak seperti usia mudanya. Namun kawalan ketat dilakukan di darat dan udara.
Sejurus kemudian rantai dan gari dibuka. Syeikh Umar melangkah naik ke pelantar hukuman.
Pesawat pasukan udara terbang rendah dan berlegar di atas kepala. Tujuannya ialah untuk menghalang para tahanan mendengar ucapan atau permintaan Umar Mokhtar jika dia bertindak menyampaikan ucapan.
Namun beliau tidak bercakap apa-apa. Melangkah gagah menaiki pelantar. Sambil mulutnya membaca sesuatu secara perlahan.
Ada yang mengatakan dia melaungkan azan secara perlahan. Ada juga yang mengatakan beliau membaca ayat 27-28 Surah Al Fajr:
یَـٰۤأَیَّتُهَا ٱلنَّفۡسُ ٱلۡمُطۡمَىِٕنَّةُ (27) ٱرۡجِعِیۤ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِیَةࣰ مَّرۡضِیَّةࣰ (28)
“Wahai jiwa yang sentiasa tenang… Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu).”
Sebelum itu tentera Itali memberi amaran kepada 20,000 tahanan mereka akan menyiksa dan memukul sesiapa sahaja yang menunjukkan kesedihan, menangis atau mengeluarkan suara membantah.
Namun sebaik sahaja tali menjerut leher sang pejuang, seorang wanita bernama Fatimah Daruha menjerit dan mengutuk perbuatan kejam penjajah.
Jeritannya diikuti oleh semua tahanan yang bangkit memberontak. Mereka tidak peduli belantan dan senjata penjajah yang memukul.
Hari ini, telah 93 tahun penjajah membunuh Syeikh Umar Mokhtar. Perbuatan keji yang dilakukan oleh semua penjajah Barat terhadap anak jajahan mereka.
(*Gambar yang disertakan ialah gambar terakhir yang dirakamkan sebelum beliau digantung.)
Oleh:
USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL
Maran, Pahang – HARAKAHDAILY 20/9/2024