KUALA LUMPUR: “Sumbangan untuk Teresa Kok.”
Ringkas tetapi penuh bermakna kenyataan Ketua Penerangan PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari khusus buat Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok susulan kontroversi isu kenyataannya sebelum ini mengenai pensijilan halal.
Menurut beliau, Teresa memerlukan seorang pembantu atau penterjemah bahasa sampingan yang boleh bekerja agar tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak menaikkan kemarahan orang ramai.
“Jadi begini, saya berhasrat menyumbangkan sedikit peruntukan yang sepatutnya saya terima daripada Kerajaan Madani untuk mengupah seorang pembantu untuk Teresa Kok.
“Itu jika kerajaan Madani berikan peruntukan kepada saya.
“RM300 sebulan untuk seorang pembantu separuh masa dan lepasan SPM khusus untuk membuat kerja-kerja penterjemahaan ke Bahasa Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, susulan isu kenyataan tersebut, Teresa memberi kenyataan mendakwa bahawa beliau telah disalahterjemah oleh ChatGPT di mana perkataan ‘to embarrass’ telah diterjemah kepada ‘memalukan’.
Oleh yang demikian, kenyataannya itu dakwa Teresa, telah menyebabkan ramai pihak marah, berpunca daripada pembantunya yang kurang mahir dalam Bahasa Melayu dan membuat terjemahan menggunakan ChatGPT kerana kesuntukan masa. – HARAKAHDAILY 19/9/2024