GEORGE TOWN: Lebih 50 kawasan di Pulau Pinang dilanda banjir dan 15 daripadanya membabitkan kawasan di bahagian pulau negeri itu, sementara selebihnya di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Utara (SPU).
Menurut Ketua Polis Daerah SPT, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Agama Nahdatul Islah di Kubang Semang yang menempatkan lima orang daripada sebuah keluarga.
Katanya lagi, antara kawasan yang dinaiki air di daerah SPT ialah Taman Mutiara, Kampung Padang Lalang, Kampung Permatang Rawa, Jalan Tembikia, Taman Makok, Taman Cantek, Taman Siakap, Taman Usaha, Taman Amra dan Jalan Bagan Lalang.
“Kebanyakannya dinaiki air antara 0.1 meter hingga 0.4 meter, kecuali di Kubang Semang sehingga 0.5 meter,” jelasnya.
Sementara itu, puluhan rumah di kawasan itu dimasuki air, namun masih di peringkat berjaga-jaga, tetapi sekiranya hujan berterusan, kemungkinan penduduk berkenaan akan dipindahkan ke PPS.
Manakala di kawasan SPU, antara lokasi yang dinaiki air banjir ialah Mak Mandin, Jalan Raja Uda, Butterworth, Taman Sungai Rambai, Taman Bunga Raya dan Taman Senangin, namun tiada mangsa yang dipindahkan.
Setakat ini jelasnya lagi, 15 kawasan di bahagian pulau yang dinaiki air, antaranya Kampung Makam, Lebuh Kimberley, Lorong Baru, Lebuh Cecil, Jalan Sungai Ujong, Jalan Magazine dan Lebuh Cintra.
Sementara melibatkan juga Teluk Kumbar, Sungai Batu dan Sungai Ara. – HARAKAHDAILY 19/9/2024