
KLUANG: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) telah memberi persetujuan untuk membantu kempen PERIKATAN NASIONAL (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota, Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan majoriti pengundinya adalah golongan usia muda.
Ketua Penerangan PERIKATAN NASIONAL, Dato’ Seri Mohammed Azmin Ali berkata, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh wakil kepada Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz yang juga ADUN Puteri Wangsa.
“Dia (wakil MUDA) maklum pada saya dia telah dapat persetujuan supaya MUDA juga dapat membantu kerja-kerja pilihan raya.
“Jadi, saya ucapkan terima kasih kepada MUDA, malam ini pun mereka hadir. Insya-Allah, mengikut maklumat yang saya perolehi tadi mereka akan membantu kempen PN,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program ceramah kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang berlangsung di Bilik Gerakan PERIKATAN NASIONAL bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham, di sini, malam tadi.
Turut hadir ialah Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad; Pengarah Pilihan Raya Pemuda PN Johor, Mohd Izharuddin Mohd Nasharuddin; calon PN bagi PRK Mahkota, Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang lebih dikenali sebagai Coach Haizan.
Antara pimpinan yang hadir ialah Pengerusi Perhubungan Perikatan Nasional Johor, Dato’ Dr Shahrudin Jamal dan Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin.
Pada program itu, beberapa orang pimpinan MUDA mewakili Amira Sisya turut hadir sebagai tetamu kehormat.
Tambah Azmin, peranan MUDA penting kerana 52 peratus daripada pengundi di DUN Mahkota adalah terdiri daripada golongan pada usia muda.
“Mereka ada tarikan yang kuat pada golongan muda. Kehadiran mereka pada malam ini menunjukkan satu mesej yang baik bahawa mereka akan membantu kita dalam pilihan raya.
“Sabtu ini (21 September) saya akan ke Johor Bahru untuk menghadiri majlis perkahwinan pemangku Presiden MUDA, YB Amira (Aisya Abdul Aziz).
“Saya rasa bagi dia honeymoon dua tiga hari dulu sebelum bantu kita,”katanya, berseloroh.
PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.
Tarikh 28 September 2024 telah ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka membabitkan 109 saluran dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu sebanyak 1,126 orang.
Sementara itu, pengundian awal pula akan berlangsung pada 24 September ini melibatkan tiga pusat mengundi dengan 11 saluran.
Sebanyak 66,318 pengundi berdaftar yang layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, yang mana 61,397 daripada mereka adalah pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.
Secara demografi daripada keseluruhan 66,318 pengundi di situ, sebanyak 54 peratus daripadanya adalah Melayu manakala baki 46 peratus adalah bukan Melayu. – HARAKAHDAILY 19/9/2024