LRA terpaksa henti operasi, ganggu air tak berjadual

Daerah Kota Setar dan sebahagian Kubang Pasu

- Advertisement -

ALOR SETAR: SADA memaklumkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Pinang Fasa 1 terpaksa dihenti yang menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air tidak berjadual di daerah Kota Setar dan sebahagian Kubang Pasu.  

- Advertisement -

Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd itu memberitahu, jangkaan beroperasi semula tidak dapat dipastikan lagi buat masa ini berikutan paras air masih lagi pada paras kritikal dan telah menenggelamkan aset-aset mekanikal dan elektrikal di LRA tersebut.

Kenyataan SADA itu berkata, operasi yang dihentikan sejak jam 1:00 pagi semalam berikutan peningkatan air sungai ke paras kritikal di muka sauk disebabkan hujan yang berterusan sejak beberapa hari lalu.

“Gangguan itu akan melibatkan kira-kira 35,000 akaun pengguna, antaranya di Pekan Alor Setar, Mergong, Mentaloon, Hutan Kampung, Tanjung Musang, Bukit Pinang, Kepala Batas, Tok Jalai dan lain-lain,” jelasnya.

Menurut SADA juga, beberapa LRA lain turut mengalami risiko yang sama berpunca dari kerosakan sistem elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang turut mengalami kerosakan akibat bencana ribut dan pokok tumbang.

Justeru itu, bagi mengurangkan beban pengguna yang terjejas, penghantaran lori tangki air akan segera digerakkan, sementara penempatan tangki statik di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sedang dilaksanakan pada masa ini.

Makluman berkenaan gangguan bekalan air ini akan dimaklumkan dari masa ke masa menerusi platform media sosial dan laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my atau hubungi i-SADA di talian 1300-88-0017. – HARAKAHDAILY 19/9/2024