KADA perkasakan penanaman padi di Kelantan

Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Badrul Hisham Mohd menyampaikan taklimat kepada Exco kerajaan negeri.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri diberi taklimat pembangunan rumah pam Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi memperkasakan lagi sektor penanaman padi di Kelantan.

Ia disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Badrul Hisham Mohd dalam Mesyuarat Exco semalam di sini.

- Advertisement -

Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, usaha itu dilakukan bagi merungkai masalah membabitkan sektor penanaman padi terutamanya ketika musim kemarau.

“Hari ini, saya bersama barisan Exco kerajaan negeri telah mendengar pembentangan mengenai cadangan penyelesaian isu bekalan air pertanian bagi tujuan penanaman padi.

“Dalam perbincangan ini, beberapa langkah konkrit telah dicadangkan,” katanya dalam satu perkongsian menerusi laman Facebook beliau semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu turut mengariskan tiga langkah menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air bagi penanaman padi ketika musim kemarau.

Ia seperti meningkatkan infrastruktur iaitu membaiki serta menarik taraf sistem bekalan air sedia ada untuk memastikan kualiti dan kestabilan bekalan makanan ruji di negara ini

Selain itu katanya lagi pemantauan secara berterusan, mewujudkan mekanisma pemantauan yang lebih berkesan untuk mengesan dan menangani masalah dengan segera.

Seterusnya ialah penyelesaian jangka panjang dengan melaksanakan projek-projek strategik untuk mengatasi masalah bekalan air secara berterusan tanpa gangguan dan lestari.

“Kami akan memastikan setiap langkah yang diambil dapat dilaksanakan untuk manfaat dan kesejahteraan para petani serta meningkatkan hasil pertanian.

“Kami bertekad untuk terus berusaha dan bertindak dengan pantas demi mencapai matlamat ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar mengadakan lawatan ke rumah pam KADA di Kemubu Ketereh bagi mendapat gambaran sebenar mengenai masalah yang berlaku di fasiliti terbabit. – HARAKAHDAILY 19/9/2024