HAMAS sedia melaksanakan gencatan senjata di Gaza dengan Israel tanpa sebarang syarat baharu dan bersedia menerima cadangan yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat (AS) pada Julai lalu.
AS memaklumkan cadangan gencatan senjata lebih terperinci akan dibuat dalam tempoh terdekat. Kesepakatan sebelum ini gagal dicapai kerana rejim Tel Aviv enggan berundur dari kawasan Koridor Philadelphi di sempadan Gaza dan Mesir.
Dalam pada itu, satu usaha digerakkan oleh beberapa negara untuk mendapatkan pengiktirafan pembentukan negara Palestin pada minggu lalu. Sepanyol menjadi tuan rumah bagi satu pertemuan yang berlangsung di Madrid dan dihadiri oleh Perdana Menteri Palestin, Mohammad Mustafa; wakil negara Mesir, Arab Saudi, Qatar, Jordan, Nigeria dan Turkiye. Pertemuan itu membincangkan langkah menamatkan perang di Gaza.
Namun, usaha itu melibatkan penyelesaian dua negara dengan pembentukan negara Palestin di Tebing Barat dan Gaza, manakala kawasan lain akan diiktiraf sebagai negara Israel. Tentulah hal ini tidak akan dipersetujui oleh penduduk Palestin yang sekian lama berjuang untuk kemerdekaan tanah air mereka.
Menurut Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares selaku tuan rumah dalam pertemuan tersebut, pelaksanaan penyelesaian dua negara adalah satu-satunya cara untuk menamatkan perang yang tiada kesudahan ini.
Pertemuan seumpama itu pernah dilakukan pada Mei lalu dengan Albares turut berperanan sebagai tuan rumah. Sebelum ini, wakil-wakil negara yang terlibat turut membincangkan untuk mewujudkan negara Palestin di Tebing Barat dan Gaza bersama dengan kewujudan Israel.
Usaha yang dilakukan ini telah bermula dan berkembang sejak tercetusnya perang di Gaza pada tahun lalu.
Walau apa pun yang diusahakan negara-negara luar ini, tentunya menemui jalan buntu apabila Parlimen Israel (Knesset) menolak penubuhan negara Palestin. Resolusi yang diluluskan di Knesset dengan undian 68-9 itu mentafsirkan penubuhan negara Palestin di tengah-tengah Israel akan menimbulkan bahaya kepada negara Israel dan penduduknya.
Hamas secara tradisi menolak penyelesaian dua negara yang hanya meletakkan negara Palestin mendapat wilayah kecil di Tebing Barat dan Gaza sedangkan Israel mendapat pengiktirafan menguasai sejumlah besar tanah air yang dirampas sejak tahun 1948 sehingga penaklukan Baitulmaqdis pada 1967.
Sebaliknya Hamas menuntut kedaulatan negara Palestin yang merdeka merangkumi seluruh wilayah yang dirampas oleh Israel, Tebing Barat yang sedia diduduki dan semenanjung Gaza. – HARAKAHDAILY 19/9/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.