Bencana air pasang besar: ADUN Sungai Burong turun padang

Kawasan yang terjejas akibat bencana air pasang besar di Kampung Baru Lembah Pantai, Sungai Kajang, Selangor. (FOTO: Facebook Dr. Mohd Zamri Mohd Zainuldin)
- Advertisement -

SELANGOR: Pasukan Khidmat Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Burong telah turun pandang bagi meninjau kawasan yang terjejas akibat bencana air pasang besar di Kampung Baru Lembah Pantai, Sungai Kajang, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Dr. Mohd Zamri Mohd Zainuldin berkata, tinjauan tersebut telah mula dilakukan pada jam 7.30 pagi ini. 

- Advertisement -

“Pasukan kami turut menggerakkan usaha membantu lima hingga sepuluh keluarga yang perlu berpindah ke Institut Pengurusan Peladang Tanjung Karang (IPP) berikutan ramalan air pasang besar dan limpahan air laut yang dijangka berlaku pada petang ini dan esok.

“Namun begitu, sebarang perubahan tempat pusat pemindahan sementara (PPS) akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Menurut Zamri, beliau bersama-sama pasukan ADUN Sungai Burong telah bertemu dengan Pengerusi Penduduk di kawasan tersebut, dikenali sebagai Jefri untuk berbincang mengenai perkara tersebut.

“Kami telah bertemu dengan beliau bagi membincangkan dan merangka kerjasama dalam usaha membantu mangsa yang terjejas.

“Di samping itu, Pusat Khidmat ADUN Sungai Burong akan membuka Bilik Gerakan di Markas/PASTI Nurul Islam Jalan Bomba bermula pada petang ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, Zamri menyatakan penduduk boleh datang ke lokasi tersebut sekiranya terdapat keperluan yang mendesak oleh penduduk di kawasan tersebut.

“Sekiranya terdapat sebarang keperluan atau perkara mendesak, penduduk boleh datang ke sini. 

“Kami juga akan menyediakan makanan untuk mangsa pemindahan yang terlibat.

“Buat masa ini keadaan masih terkawal. Semoga semua penduduk dapat menjaga keselamatan masing-masing,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/9/2024