Anak muda DUN Mahkota bakal ulangi PRU15, PRK Sungai Bakap

Idris Ahmad hadir dalam program ceramah kempen PRK DUN Mahkota di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham, Kluang, Johor. (Foto HARAKAHDAILY/Abdul Aziz Yunos)
- Advertisement -

KLUANG: Golongan anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diyakini akan terus memberi sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL dan akan mengulangi sejarah kemenangan besar parti gabungan itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, ia sesuai dengan ciri-ciri demografi pecahan penduduk DUN Mahkota yang hampir sama dengan DUN tersebut.

- Advertisement -

“Demografi penduduk di Sungai Bakap, pengundinya lebih kurang dengan DUN Mahkota. 

“Kalau di Sungai Bakap lebih kurang 59 peratus pengundinya Melayu, di DUN Mahkota pula lebih kurang  markah lebih kurang 55 peratus pengundinya Melayu,” katanya.

Menurut beliau, ia juga sama seperti apa yang telah dilakukan oleh pengundi muda pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15 yang juga telah memberi kemenangan besar kepada PERIKATAN NASIONAL.

“Orang muda senang untuk menerima perubahan. Kebanyakan orang muda ini mereka tidak adanya pegangan politik (tertentu). 

“Mereka rentas politik. Mungkin kadang-kadang ayahnya Pakatan Harapan ataupun Umno, tapi belum tentu anaknya.

“Dalam PRU yang ke-15  (PRU15) dahulu peranan anak-anak muda dengan izin Allah telah membuatkan satu keputusan yang mengejut sekali. 

“Membuat satu keputusan yang amat terperanjat bagi pihak Barisan Nasional dan juga Pakatan Harapan sekali,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam program ceramah kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang berlangsung di Bilik Gerakan PERIKATAN NASIONAL bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham, di sini, malam tadi.

Turut berucap di dalam program itu ialah Ketua Penerangan PERIKATAN NASIONAL, Dato’ Seri Mohammed Azmin Ali yang juga Pengarah Utama PRK itu, Pengarah Pilihan Raya Pemuda PN Johor, Mohd Izharuddin Mohd Nasharuddin dan calon PN bagi PRK Mahkota, Coach Haizan.

Antara pimpinan lain yang hadir ialah Pengerusi Perhubungan PERIKATAN NASIONAL Johor, Dato’ Dr Shahrudin Jamal, Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin dan tiga orang pimpinan Parti MUDA mewakili pemangku presiden mereka iaitu Amira Aisya Abdul Aziz yang juga ADUN Puteri Wangsa.

Tambah Idris, PERIKATAN NASIONAL telah memutuskan untuk memilih bekas pemain bola sepak Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang lebih dikenali sebagai ‘Coach Haizan’ sebagai calon bagi PRK DUN Mahkota.

“Maka saya yakin dan percaya, bukan benda yang mustahil dalam pilihan raya kecil untuk DUN Mahkota ini dengan kita menampilkan Coach Haizan ini mempunyai makna yang tersendiri.

“(Ia adalah) Untuk mewakili semangat yang akan dibawa oleh saudara Coach Haizan ini terutama dari kalangan suara-suara anak muda dalam Dewan Undangan Negeri Johor kelak,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai ioptimis bahawa Coach Haizan akan menang dan bakal duduk sebaris dengan tiga lagi ADUN PERIKATAN NASIONAL dan seorang ADUN Parti MUDA dalam DUN Johor usai PRK ini. 

“Jadi insya-Allah, ia bukannya satu perkara yang mustahil. Kerana saya yakin dan percaya dari kalangan pengundi-pengundi yang berada dalam kawasan DUN Mahkota ini kebetulan, kawasannya kawasan bandar yang senang untuk akses maklumat melalui hujung jari.

“Walau pun kita tahu kempen- kempen yang dibuat oleh umno. Kadang-kadang mereka berkempen dengan cara ala televisyen hitam putih.Mereka masih lagi memainkan isu-isu yang lapuk. Isu-isu yang kononnya kita ini tolak pembangunan,” katanya lagi.

Tarikh 28 September 2024 telah ditetapkan sebagai hari mengundi bagi PRK Mahkota dengan 20 pusat mengundi akan dibuka membabitkan 109 saluran dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu sebanyak 1,126 orang.

Sementara itu, pengundian awal pula akan berlangsung pada 24 September melibatkan tiga pusat mengundi dengan 11 saluran.

Sebanyak 66,318 pengundi berdaftar yang layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu di mana 61,397 daripada mereka adalah pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara. – HARAKAHDAILY 19/9/2024