Banyak negeri yang tiada premis perjudian maju

Andasura Rabu
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Banyak sahaja negeri yang tidak mempunyai premis perjudian tetapi masih boleh maju dari segi ekonomi.”

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Dato’ Andasura Rabu berkata, ekonomi sesebuah negeri yang baik merupakan ekonomi jenis tidak bergantung kepada mana-mana premis perjudian semata-mata.

- Advertisement -

“Kaedah sebegitu bukan sahaja mendatangkan keberkatan kepada orang-orang Islam tetapi juga boleh membantu banyak industri lain untuk berkembang walaupun dalam kalangan bukan Islam.

“Maka, kenyataan Pengerusi DAP Pahang iaitu Lee Chin Chen mengenai penutupan premis judi termasuklah kasino di Genting Highlands adalah sangat melesit sekali,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Menurut beliau, tindakan untuk menutup kasino di Genting Highland bukan bermaksud PAS ingin menutup kawasan tersebut secara keseluruhan tetapi lebih kepada perubahan ke kawasan pelancongan.

“Kita mahu jadikan Genting Highlands sebagai destinasi pelancongan kerana saya yakin jika kawasan tersebut tidak dijenamakan sebagai pusat perjudian, ianya boleh menarik lebih ramai orang untuk berkunjung ke sana terutamanya sekali rakyat tempatan.

“Yang menjadi permasalahan sekarang ini ialah rakyat tempatan termasuklah orang Pahang sendiri pun ada perasaan ragu-ragu jika ingin berkunjung ke Genting Highlands.

“Perkara sebegini adalah berpunca daripada penjenamaan kawasan itu sendiri sebagai pusat perjudian dan sudah tentu perjudian merupakan sesuatu yang tidak baik.

“Maka, mereka agak keberatan untuk ke kawasan tersebut kerana sering dikaitkan dengan  perjudian,” jelasnya.

Sehubungan itu, Andasura menyatakan semua orang akan lebih berminat untuk berkunjung di Genting Highlands sekiranya kasinonya ditutup dan dijadikan kawasan pusat pelancongan yang lebih menarik.

Kata beliau lagi, ini kerana timbulnya satu persepsi bahawa orang ramai hanya datang ke kawasan tersebut hanya untuk berjudi semata-mata.

“Jadi, apa yang saya ingin maksudkan di sini ialah kita tidak mahu ekonomi bergantung sedikit pun dengan segala jenis bentuk perjudian.

“Ini kerana kita semua tahu perjudian ini bukan sahaja membuatkan seseorang itu tidak mempunyai masa bersama keluarganya tetapi juga hanya mendatangkan banyak keburukan.

“Jadi, apa yang kita ingin buat ialah dengan penjenamaan semula Genting Highlands sebagai pusat percutian untuk keluarga dan bukan lagi sebagai tempat kasino.

“Ini sekaligus memberikan kebaikan kepada Genting Highlands sebenarnya apabila perkara sebegini dapat dilaksanakan kerana berpotensi untuk menarik semua orang awam untuk melawat kawasannya,” katanya.

Terdahulu, portal MalaysiaKini melaporkan Pengerusi DAP Pahang iaitu Lee Chin Chen melahirkan rasa terkejut dengan hasrat PAS negeri untuk menutup premis judi termasuklah kasino di Genting Highlands.

Beliau berkata tindakan sedemikian boleh menjejaskan ekonomi termasuk sumber pendapatan umat Islam yang bekerja di kawasan destinasi pelancongan tersebut. – HARAKAHDAILY 18/9/2024