ARAU: Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sena dan Guar Sanji, berikutan banjir yang melanda beberapa kampung di Perlis.
Seramai 41 mangsa dari dua kawasan dipindahkan bagi memastikan keselamatan mereka.
PPS pertama di Sekolah Kebangsaan Sena dibuka pada malam tadi jam 10:50 malam, melibatkan dua kampung, iaitu Kampung Tok Kandang dan Kampung Bakau.
Seramai empat keluarga yang terdiri daripada lapan mangsa, termasuk tiga lelaki dewasa, empat perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki kini ditempatkan di PPS tersebut.
Tiada bayi atau orang kurang upaya (OKU) terlibat dalam insiden ini.
Sementara itu, PPS kedua dibuka di Sekolah Kebangsaan Arau pada jam 11:30 malam untuk menampung mangsa banjir dari Kampung Titi Besi dan Kuaters MADA.
Seramai 33 mangsa daripada lapan keluarga dipindahkan ke PPS ini, yang terdiri daripada 13 lelaki dewasa, 11 perempuan dewasa, empat kanak-kanak lelaki, tiga kanak-kanak perempuan, seorang warga emas lelaki dan seorang bayi perempuan.
Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, sehingga pagi ini, keadaan di PPS masih terkawal, dan tiada insiden tambahan dilaporkan.
Jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi di Perlis setakat ini adalah dua.
Orang ramai di kawasan yang berisiko dinasihatkan untuk terus berwaspada dan mengikuti arahan pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan mereka sepanjang tempoh banjir ini.
Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim turut meluangkan masa melawat beberapa kawasan yang terjejas.
Beliau melahirkan kebimbangan terhadap keadaan cuaca yang masih tidak menentu.
“Hujan lebat amat membimbangkan ketika ini. Saya menyeru semua untuk berjaga-jaga dan bersiap sedia menghadapi apa-apa kemungkinan yang berlaku,” katanya.
Beliau turut mendoakan keselamatan semua mangsa banjir serta mereka yang berada di kawasan berisiko agar dilindungi dan selamat. – HARAKAHDAILY 18/9/2024