Tebang pokok besar yang berisiko tumbang

- Advertisement -

PASIR MAS: Orang ramai dinasihatkan supaya menebang pokok-pokok besar yang ada di sekeliling kediaman mereka khususnya yang berisiko akan tumbang apabila berlaku angin kuat atau ribut.

- Advertisement -

ADUN Tendong, Rozi Muhamad berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi mengelak kejadian pokok tumbang dan seterusnya mengenai rumah berdekatan.

“Kejadian sebegini begitu bahaya pada penduduk yang berkaitan dan boleh membawa maut atau cedera sekiranya pokok berkenaan menimpa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui hari ini di sini ketika mengulas kejadian dua buah rumah yang rosak teruk akibat ditimpa pokok besar pada kejadian ribut.

Petang semalam dua buah rumah di Kampung Tempoyak dan Kampung Teliar dalam DUN Tendong mengalami kerosakan setelah ditimpa pokok besar.

Pada dua kejadian di tempat berasingan itu, dianggarkan kerugian sebanyak RM7,000.

Sebaik sahaja menerima laporan berkenaan, beliau bergegas ke tempat kejadian.

Mengulas kejadian itu, beliau berkata kerajaan negeri begitu prihatin terhadap kejadian sedemikian.

“Kerana itu, sumbangan segera dari Tabung Serambi Makkah terus diberikan pada mangsa-mangsa bencana alam dan kebakaran,” katanya.

Beliau memberitahu, pada masa yang sama Pusat Khidmat DUN akan terus membantu mangsa berkenaan untuk meringankan bebanan kerosakan ditanggung mereka.

Rozi bagaimanapun melahirkan rasa syukur, memandangkan kesemua mangsa dari dua keluarga berkenaan selamat dan tiada berlaku sebarang kecederaan. – HARAKAHDAILY 17/9/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!