Pemandu Perodua Aruz maut terbabas langgar pembahagi jalan

Kemalangan berlaku di pembahagi jalan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland berhampiran perkampungan Orang Asli Kampung Juang. (FOTO: Jabatan Bomba dan Penyelamat)
- Advertisement -

IPOH: Pemandu Perodua Aruz dikenali sebagai Syarul Azrin Anuar, 37, maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kampung Juang, Simpang Pulai, Perak di sini pada awal pagi Selasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, seramai tujuh orang pasukannya telah bergerak ke lokasi kejadian dengan menaiki jentera FRT selepas menerima panggilan pada jam 4.40 pagi.

- Advertisement -

“Pemandu kereta (mangsa) tersebut telah tersepit di ruangan pemandu dan disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai kesihatan,” ujarnya.

Menurut beliau, kerja-kerja penyelamatan kemudian dilaksanakan dengan menggunakan peralatan hidraulik sebelum mangsa berjaya dikeluarkan sejam kemudian.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.30 pagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/9/2024

- Advertisement -