ADUN lawat 53 mangsa banjir di PPS SK Malau

- Advertisement -

KUBANG PASU: ADUN Jitra yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah telah mengadakan lawatan dan bertemu mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau, di sini pagi tadi.

- Advertisement -

Dalam kehadiran itu juga beliau mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Penghulu Mukim Malau dan Jitra serta pihak SK Malau dan Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Juga Angkatan Pertahanan Awam (APM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu dan semua yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir sejak malam tadi.

Beliau yang hadir bersama Jawatankuasa Pusat Khidmat ADUN Jitra mengharapkan penduduk yang terlibat dapat patuh kepada arahan pihak berkuasa untuk keselamatan masing-masing.

“Saya menyeru kepada semua yang terkesan dengan banjir agar berpindah ke pusat pemindahan agar  bantuan serta keperluan mudah untuk disalurkan. Insyaallah moga semuanya dipermudahkan,” ujarnya.

Seramai 53 mangsa banjir daripada 15 keluarga dipindahkan ke PPS tersebut melibatkan penduduk daripada tiga kampung iaitu Kampung Padang Panjang, Kampung Sampang dan Kampung Lubuk Ipoh.

Menurut Pegawai APM Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi, penduduk terbabit dipindahkan ke PPS kira-kira jam 9:15 malam tadi, untuk mengelak sebarang implikasi buruk.

“Anggota APM Kubang Pasu masih di lapangan ketika ini dan membuat pemantauan dan dalam keadaan bersiap sedia.

“Selain itu, anggota kami turut menasihatkan penduduk yang terjejas banjir supaya berpindah ke tempat yang selamat,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, hujan lebat yang melanda Kedah sejak awal pagi semalam telah menyebabkan beberapa daerah di negeri itu dilanda banjir termasuk tiga sungai mencatatkan kenaikan air melebihi paras bahaya. – HARAKAHDAILY 17/9/2024

- Advertisement -