PAS tidak harus terus berasa selesa – Tuan Ibrahim

Tuan Guru Abdul Hadi di samping Tuan Ibrahim pada Muktamar PAS Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, Temerloh, Pahang.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “PAS tidak harus terus berasa selesa walaupun kita sedang memerintah empat buah negeri dan parti yang mempunyai bilangan terbanyak ahli parlimennya.”

Itu pesanan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man susulan Muktamar PAS Kali Ke-70 yang telah melabuhkan tirainya semalam. 

- Advertisement -

“Sebagai bekalan buat para perwakilan, saya menyeru bahawa setiap ahli PAS perlu terus bekerja keras memenangi hati dan meyakinkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, agenda penyatuan ummah juga harus terus diperkasakan seperti mana yang ditegaskan oleh Tuan Guru Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Tidak dinafikan penyatuan ummah yang telah dimulakan sebelum ini terhenti di tengah jalan atas beberapa faktor. 

“Namun PAS sebagai jemaah yang menjadikan Islam sebagai dasar menyeru kepada perpaduan tidak akan berputus asa untuk merealisasikannya,” jelas beliau.

Tambah Tuan Ibrahim, demi membawa mesej Islam sebagai penyelesaian, PAS perlu terus berada di tengah-tengah masyarakat. 

Beliau menegaskan agar semua pihak termasuk bukan Islam harus difahamkan betapa PAS membawa mesej penyatuan, perpaduan dan kedamaian menurut acuan yang ditentukan oleh Allah SWT. 

“Tahniah dan terima kasih buat PAS Pahang sebagai tuan rumah tahun ini,” ujarnya.

Kaya beliau lagi, sepanjang bermuktamar pelbagai teguran, nasihat dan perkongsian pengalaman daripada perwakilan, tidak lain hanyalah untuk kita saling bermuhasabah. 

“Akhirnya kita mahukan Harakah Islam PAS terus harum dan diperkasakan.

“Insya-Allah, Kedah menjadi destinasi Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-71.

“Alhamdulillah. Siiru ‘ala barakatillah,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/9/2024

- Advertisement -