FLORIDA: Calon presiden Republikan Donald Trump selamat selepas beberapa das tembakan dilepaskan berhampiran padang golf di West Palm Beach, Florida.
Menurut dua sumber yang diberi taklimat mengenai kejadian itu kepada Reuters, tembakan pada Ahad (waktu tempatan) itu dikesan berpunca dari luar garisan pagar padang golf berkenaan.
Ketika berkempen Trump sebelum ini berkata dia selamat berikutan insiden tembakan tetapi tidak memberikan butiran terperinci.
Perkhidmatan Rahsia Amerika berkata ia sedang menyiasat kejadian itu, yang berlaku sejurus sebelum 2 petang. (1800 GMT).
Rumah Putih dalam satu kenyataan pula berkata bahawa Presiden Joe Biden dan Harris telah diberi taklimat mengenai insiden itu dan berasa lega apabila mengetahui bahawa Trump selamat.
Sementara itu anak lelaki Trump, Donald Trump Jr., memetik penguatkuasaan undang-undang tempatan sebagai berkata senjata automatik AK-47 telah ditemui di dalam semak dan seorang suspek telah ditahan, menurut catatan di X.
Reuters tidak dapat mengesahkan akaunnya dengan segera.
Washington Post dalam laporannya pula berkata, Trump sedang bermain golf di padang ketika kejadian itu berlaku.
Susulan tembakan itu, ejen Perkhidmatan Rahsia dilaporkan membawanya ke bilik perlindungan di kelab golf, lapor Washington Post memetik dua sumber yang memberi taklimat tentang apa yang berlaku.
Jurucakap kempen Trump, Steven Cheung bagaimanapun tidak segera menjawab permintaan untuk komen.
Perkhidmatan polis Palm Beach dalam pada itu berkata, mereka akan mengadakan taklimat mengenai kejadian itu pada jam 4.30 petang hari ini (waktu tempatan).
Terdahulu, Trump dilaporkan cedera dalam percubaan membunuhnya di Pennsylvania pada 13 Julai 2024, menjelang pilihan raya 5 November, yang bakal menyaksikan berdepan dengan Naib Presiden Demokrat, Kamala Harris.
Dalam insiden percubaab membunuh Trump 13 Julai 2024 berkenaan, lelaki bersenjata yang dikenal pasti sebagai Thomas Crooks, 20, telah ditembak oleh penembak tepat Perkhidmatan Rahsia. – Agensi/– HARAKAHDAILY 16/9/2024