‘Masih ada sepuluh negeri lagi untuk kita tawan’

Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin
- Advertisement -

TEMERLOH: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin, menekankan kepentingan kejujuran dan kebijaksanaan dalam perjuangan politik semasa ucapan penggulungan sempna Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di sini, hari ini.

Mengaitkan perjuangan PAS dengan dua surah pendek dalam Al-Quran, Surah Al-Masad (Tabbat) dan Surah An-Nasr (Iza Ja’a), beliau menjelaskan perbezaan suasana ketika kedua-dua surah ini diturunkan.

Tabbat diturunkan ketika Abu Lahab memerintah Mekah, manakala Iza Ja’a selepas Islam memerintah Mekah.

- Advertisement -

“Kedua-dua surah pendek ini berdekatan, tetapi suasananya berbeza,” katanya.

Beliau turut mengimbas kembali peristiwa Perjanjian Hudaibiyah, di mana Nabi Muhammad SAW menerima syarat-syarat musuh dengan penuh kebijaksanaan.

Dalam konteks semasa, Tuan Guru Hashim berkata kemenangan PAS di empat negeri merupakan satu kebanggan, tetapi perjalanan masih panjang.

“Sekarang kita ada SG4, empat negeri yang kita menang. Kita tak sepatutnya bangga, tapi kena kaji macam mana kita mahu menang lagi.

“Masih ada sepuluh negeri lagi untuk kita tawan,” tambah beliau.

Beliau juga berkongsi kisah seorang tentera zaman Khalifah Umar yang menemui barang berharga dan menyerahkannya dengan jujur tanpa mengharapkan balasan.

“Kejujuran ini yang menjadi kunci kepada kemenangan. Allah yang memberi kemenangan jika kita melahirkan pejuang yang ikhlas,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, Tuan Guru Hashim menyeru ahli PAS untuk terus menegakkan kejujuran dalam perjuangan, kerana tanpa kejujuran, barakah Allah tidak akan turun.

“Tidak akan lurus seseorang itu sehingga hatinya lurus. Jangan bohong, kalau bohong tak layak dapat barakah,” tegasnya.

Dengan nasihat dan peringatan itu, Tuan Guru Hashim berharap agar PAS terus melahirkan pejuang-pejuang yang jujur dan ikhlas untuk membawa kemenangan yang diberkati Allah. –  HARAKAHDAILY 15/9/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -