Ibrah nasib Palestin: PAS perlu ada silibus sejarah tanah air

Mumtaz pada Muktamar PAS Kali Ke-70.
- Advertisement -

TEMERLOH: PAS melalui Lajnah Tanah diusulkan agar mempunyai silibus sejarah tanah air untuk memberi kesedaran dari sudut penjagaan hak milikan tanah dari sudut undang-undang, dan turun ke cawangan demi menjaga negara dan semua pusat pendidikan di bawah Parti.

Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, ia adalah bagi menyemarakkan semangat hubbul watan dan isu antara bangsa untuk memastikan agar apa yang berlaku di bumi dan tanah Palestin sekarang ini dijadikan ibrah – lekat dan dekat di hati ahli PAS, keluarga, serta semua pengundi dan rakyat Malaysia.

- Advertisement -

“Muslimat dan kanak-kanak juga harus berganding bahu dalam membela Palestin secara kefahaman, semangat, ekonomi, dalam membina jati diri individu dan bangsa secara bermaruah melalui PASTI, SRITI dan SMITI – agar betapa kanak-kanak hampir setiap hari mereka solat jenazah dan syuhada’ tetapi mereka tetap cekal dan kekal dalam mempertahankan bumi Palestin,” katanya.

Menurut beliau, PAS telah menyokong sepenuhnya prosiding perundangan yang dimulakan Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), sebagai peguam pemerhati dalam perbicaraan.

“Dan bersekali Badan Peguam Malaysia mengumumkan bahawa Majlis Peguam berganding bahu dengan Majlis Peguam Palestin dalam bidang undang-undang di Palestin untuk mengutuk kekejaman genosid dan jenayah perang yang dilakukan Israel di Gaza dan persidangan antarabangsa,” tegasnya dalam usul di Muktamar PAS Kali Ke-70 pada Sabtu.

Tambah beliau, Lajnah Pendidikan dan Pengajian Antarabangsa.Badan Peguam Malaysia sedia menghulurkan bantuan kepada prosiding ICJ, dengan cara intervensi jika perlu, supaya tidak ada negara boleh menggunakan genosid sebagai alasan bagi mempertahankan diri untuk melakukan jenayah perang.

Mumtaz juga mengusulkan bagi mengenal pasti jadual dan mekanisme agar bantuan kemanusiaan yang sehingga kini tersadai di sempadan Semenanjung Gaza samai kepada sasaran.

“Kita  kutip jutaan ringgit dan hantar pelbagai barangan termasuk ubat-ubatan, dan membina bangunan tapi andai tidak sampai ke bumi Gaza, maka  ia tidak mencapai maksud yang diniatkan melalui PAS Relief, rundingan dengan pemimpin negara sempadan dan kedutaan melalui Lajnah Antara bangsa,” jelasnya.

Beliau menyatakan, Malaysia adalah pengerusi Asean yang mana semua negara anggota harus peka bukan hanya isu Myanmar  tetapi juga isu Palestin.

“Jangan jadi negara talam dua muka  tetapi  larang rakyat berbicara isu Palestin,” tegas Mumtaz.

Sehubungan itu, beliau mengusulkan, agar menggunakan semua saluran yang ada sama ada melalui Kerajaan kepada negara, blok-blok  ekonomi dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk melobi bagi keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebuah negara berdaulat. 

“Percaturan politik dunia sangat berkait rapat dengan Palestin melalui meja rundingan Lajnah Politik Antarabangsa,” ujarnya.

Menurutnya lagi, delegasi Palestin telah mengambil tempat dalam kalangan negara anggota pada Perhimpunan Agung PBB pada Selasa lalu, selepas mendapat hak baharu walaupun bukan anggota penuh badan itu.

“Sementara pada Mei lalu pula, majoriti besar daripada negara anggota mengundi pada Perhimpunan Agung berkenaan bahawa Palestin berhak menjadi ahli penuh PBB, walaupun langkah itu disekat oleh Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Perhimpunan Agung PBB, ujar Mumtaz, telah memberikan delegasi Palestin dengan hak baharu tertentu berhubung resolusi, walaupun masih mengecualikan mereka daripada dapat hak mengundi atau menjadi ahli Majlis Keselamatan PBB.

“Bermula dengan sesi Perhimpunan Agung ke-79 pada Selasa, rakyat Palestin boleh mengemukakan cadangan dan pindaan serta duduk dalam kalangan negara anggota.

“Pada April lepas, berikutan meletusnya perang di Gaza, Palestin yang mempunyai status negara pemerhati bukan anggota sejak 2012, melancarkan semula bidaan keahlian penuh PBB.

“AS, sekutu setia Zionis Israel telah menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB, untuk menghalang cadangan keahlian penuh Palestin itu pada 18 April lalu,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mumtaz mengusulkan bagi memastikan dan menyokong gerakan murabitun dan murabitat bagi memakmurkan Masjidil Al-Aqsa atas dasar kebebasan beragama; dan mengecam tindakan kekerasan kepada warga emas dan wanita serta kanak-kanak  kerana Masjidil Al-Aqsa adalah antara monumen tertua di dunia melalui lajnah tarbiah dan lajnah kesenian dan warisan sejarah

Beliau juga menggesa, melalui kepakaran dan pengalaman siasah dan pilihanraya PAS,

agar pilihan raya umum dapat segera dibuat di Palestin untuk membolehkan rakyat mereka memilih kerajaan dan pemimpin yang sah setelah 18 tahun rakyat mereka dinafikan.

Mumtaz juga berkata, beliau berterima kasih kepada semua anak-anak muda termasuk mahasiswa terbaik di dunia dan ahli-ahli Parlimen daripada negara Islam dan negara Barat yang menyokong solidariti dan  perjuangan rakyat Palestin secara konsisten melalui jaringan kerja anak-anak muda siswa PAS dan pemuda serta Ameerah, melalui ebih banyak diskusi dan advokasi.

Selain mengusulkan PAS menjadi perintis literasi perlembagaan di Malaysia, beliau juga menggesa melalui mahkamah dan badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan PBB agar menguatkuasakan semua resolusi yang mengecam genosid.

“Juga membenarkan pasukan pengaman untuk membantu rakyat Palestin bagi menyelamatkan kanak-kanak yang kini hampir 20,000 orang, untuk  membina masa depan dengan segera masuk bagi pembukaan semula sekolah dan universiti di Gaza, dengan Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat dalam menjadi sebahagian dari profesional peguam,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/9/2024

- Advertisement -