TEMERLOH: Usaha untuk mengembalikan semula fungsi dinar dan dirham sebagai sistem kewangan Islam masih perlu diteruskan dalam apa jua keadaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad berkata, sistem kewangan yang ada pada hari ini masih dimanipulasi oleh kuasa-kuasa besar.
“Maka, perlunya ada usaha nagi mengembalikan semula sistem kewangan yang bersifat adil dan saksama. Perkara tersebut tanpa henti diperjuangkan oleh Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Iaitu dengan cuba mengembalikan semula penggunaan dinar dan dirham dalam negeri Kelantan melalui Kelantan Gold Trade Sdn Bhd itu sendiri.
“Tujuannya adalah untuk mengajar umat Islam menyimpan dinar iaitu wang emas sebagai perlindungan daripada manipulasi kewangan melalui inflasi,” katanya ketika ditemui Harakahdaily.
Menurut beliau, kewujudan sistem ekonomi yang ada pada hari ini telah menyumbang kepada ketidakstabilan banyak negara.
Tambah beliau, satu daripadanya ialah sistem kewangan berbentuk fiat (wang yang dikawal kerajaan) yang sememangnya membuka peluang untuk kuasa-kuasa besar melakukan sebarang manipulasi.
“Realiti sebenar ialah Amerika Syarikat (AS) sendiri yang mengawal sistem ekonomi pada hari ini dan menggunakannya untuk menindas mana-mana negara.
“Mana-mana pemimpin yang cuba untuk keluar daripada sistem kewangan mesti akan menerima akibat yang buruk. Seorang daripadanya ialah kita boleh melihat apa yang berlaku di negara Libya
“Iaitu ketika Presiden Muamar Gaddafi cuba mengembalikan semula penggunaan dinar emas dalam ekonomi negaranya. Negara tersebut sudah menghadapi kehancuran hanya kerana tidak mahu lagi mengikut sistem kewangan AS itu sendiri.
“Namun begitu, banyak negara sudah mula menyedari bahawa ekonomi mereka terjejas akibat daripada sistem ekonomi yang dibuat oleh mereka,” ujarnya ketika ditemui di Kompleks Al-Makmur, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Kamaruzaman menyatakan cadangan penggunaan dinar sebagai sistem kewangan alternatif bukan sahaja dilakukan oleh Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Aziz tetapi juga oleh bekas Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.
Apabila ditanya sama ada PAS akan menggerakkan semula usaha pengembalian dinar dirham sebagai sistem kewangan, beliau menyatakan perkara tersebut perlu dilakukan.
“Sememangnya usaha tersebut masih akan dilakukan tetapi kita juga akan mendapatkan kerjasama daripada blok negara-negara Islam itu sendiri bagi menyediakan sistem ekonomi Islam yang adil dan saksama
“Ini kerana kita mahu perkara sebegini dilakukan secara menyeluruh dan pada masa sama dengan penuh berhati-hati,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2024