Tema Muktamar panduan hadapi cabaran umat

- Advertisement -

TEMERLOH: Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 yang membawa tema ‘Islam Adalah Penyelesaian’ menarik perhatian perwakilan PAS daripada negeri Terengganu.

- Advertisement -

Sebelumnya, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dalam ucapan dasarnya menegaskan bahawa parti itu akan terus berpandukan kepada al-Quran dan Sunnah.

Malah PAS jelas Ahli Parlimen Marang itu, akan mengaplikasikan ijtihad berdasarkan pengalaman untuk memilih pendekatan demokrasi yang damai dan perpaduan umat.

PAS katanya, percaya bahawa agenda politik Islam mesti dilaksanakan dengan cara yang berhikmah, matang dan sejahtera.

Ini bermaksud, pendekatan yang dipilih adalah paling sesuai untuk memelihara keamanan dan mempromosikan keharmonian dalam masyarakat.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, tema muktamar itu sebagai satu garis panduan yang memberikan solusi menyeluruh kepada cabaran dihadapi oleh umat dan negara.

“Dalam dunia yang semakin kompleks, Islam hadir bukan hanya sebagai agama semata, tetapi sebagai panduan hidup yang menyeluruh, merangkumi aspek sosial, ekonomi dan politik.

“Inilah jalan yang kita yakini mampu membawa kesejahteraan dan kestabilan, berlandaskan keadilan, rahmah dan kesejahteraan untuk semua,” katanya dalam satu hantaran di laman _Facebook_ miliknya, hari ini.

Berpendapat sama, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, Islam adalah penyelesaian kepada semua permasalahan manusia.

“Sebagai agama yang lengkap dan sempurna, Islam menawarkan panduan hidup yang komprehensif, dari aspek akidah, syariah hingga akhlak.

“Di tengah cabaran moden seperti kemelut sosial, politik dan ekonomi, ajaran Islam hadir dengan solusi berteraskan keadilan, kesejahteraan dan keberkatan,” katanya.

Kata beliau, hanya dengan kembali kepada prinsip-prinsip Islam, masyarakat yang harmoni, makmur, dan diberkati oleh Allah SWT dapat diwujudkan.

Beliau berkata, keyakinan dan keteguhan mempraktikkan tuntutan Islam juga mampu memimpin seluruh manusia ke arah politik berwawasan, ekonomi berkat, tadbir urus bersih dan kehebatan Undang-undang Islam.

Menurutnya, tema muktamar menjadi hala tuju untuk PAS terus bergerak sebagai wadah tarbiyah, dakwah berkebajikan dan politik.

ADUN Kota Putera, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman pula berkata, untuk menerapkan undang-undang Islam, umat Islam perlu mempertahankan dan memartabatkan syariat, baik dalam pengamalan mahupun penggubalan undang-undang.

“Ini adalah jalan yang diyakini membawa kesejahteraan dan kestabilan berlandaskan keadilan dan kesejahteraan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2024