SG4 peluang terbaik lonjakkan kuasa ekonomi negeri

Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi
- Advertisement -

TEMERLOH: Empat Menteri Besar Kerajaan Empat Negeri (SG4) iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu terdiri daripada golongan profesional, golongan ulama dan aktivis parti.

Perwakilan PAS Negeri Terengganu, Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi berkata, ahli parti perlu mendukung kepimpinan kerana mereka adalah individu yang dipilih oleh parti untuk menjalankan tanggungjawabnya.

“Kita belajar di dalam tarbiyah mengenai siqah dan wala’ kepada kepimpinan. Adakah bila diberi ujian kemenangan, hilang semua hasil tarbiyah itu? Apa yang ada hanyalah politik balas dendam antara satu sama lain.

- Advertisement -

“Yang dulu bersahabat, sekarang menjadi musuh sedangkan kemenangan adalah amanah daripada Allah untuk kita tonjolkan kepada masyarakat bahawa Islam adalah betul-betul memimpin ummah,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura dalam pada itu berkata, idea penubuhan SG4 sepatutnya perlu ‘sense of belonging’ disebabkan ianya datang daripada keputusan pucuk pimpinan parti.

“SG4 ini juga memiliki ‘collective bargaining power’ (kuasa tawar-menawar). Ketika mana negara kita mempunyai sistem ekonomi yang meletakkan kuasa yang penuh kepada persekutuan, hak-hak negeri diketepikan.

“Bayangkan sebagaimana contoh Kelantan dan Terengganu didiskriminasi. Terengganu yang sepatutnya mendapat hak royalti minyak, ditarik hak royalti minyak. Sudahlah, ini politik lama, ini sistem ekonomi lama. Kalau kita nak berubah, kita perlu kepada sistem ekonomi yang baru.

“Sistem ekonomi yang memberikan kuasa autonomi yang besar negeri untuk merancang pembangunan negeri, dan inilah peluang terbaik kepada SG4 untuk beraksi bagi melonjakkan kuasa ekonomi negeri-negeri Melayu ini ke satu tahap yang baru,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2024