Pertembungan Coach Haizan, Syed Hussein di DUN Mahkota

Coach Haizan (kanan) dan Syed Hussein diterima secara rasmi sebagai calon yang bertanding pada PRK Mahkota selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang, Johor pada hari ini, 14 September 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Abdul Aziz Yusof)
- Advertisement -

KLUANG: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN).

PERIKATAN NASIONAL mempertaruhkan tokoh sukan yang juga bekas pemain bola sepak Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang lebih dikenali sebagai Coach Haizan.

- Advertisement -

BN pula meletakkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah, 40, sebagai calon parti itu. 

Perkara itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azurawati Wahid selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini, hari ini.

Turut hadir mengiringi Coach Haizan pada hari penamaan calon ialah Pengerusi Perikatan Nasional, Presiden BERSATU merangkap Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Nik Amar Abdullah; Timbalan Pengerusi PN Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu; dan Naib Presiden Gerakan, Koo Shiaw Lee

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen adalah selama 14 hari bermula hari ini sehingga jam 12 tengah malam Jumaat 27 September 2024.

Tarikh 28 September 2024 ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka membabitkan 109 saluran dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu sebanyak 1,126 orang.

Sementara itu, pengundian awal pula akan berlangsung pada 24 September 2024 melibatkan tiga pusat mengundi dengan 11 saluran.

Sebanyak 66,318 pengundi berdaftar yang layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu di mana 61,397 daripada mereka adalah pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.

DUN Mahkota kosong setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman. – HARAKAHDAILY 14/9/2024