TEMERLOH: PAS Negeri Johor telah menyahut seruan Presiden PAS untuk meningkatkan peranan jentera parti dalam usaha mengubah landskap politik di negeri itu.
Perwakilan PAS Johor, Roslan Nikmat berkata, parti itu telah menyediakan pelan strategik komprehensif untuk menawan Johor.
Katanya, pelan tersebut dikenali sebagai JDT 1, 2, 3, dan 4, diinspirasikan daripada strategi politik DAP di Pulau Pinang yang menggunakan pelan Tanjung 1, 2, 3, dan 4.
“Jika DAP boleh berjaya dengan strategi mereka, mengapa kita tidak boleh?” ujar Roslan, mengisyaratkan keyakinan PAS Johor dalam menghadapi cabaran politik di negeri tersebut.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan Ucapan Dasar Presiden PAS di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, kata beliau, PAS Johor menghadapi cabaran unik, berbeza daripada negeri lain, termasuk kekuatan Umno Johor yang terkenal sebagai kubu paling kuat di Malaysia.
“Namun, itu bukan asbab untuk kita jadi rumput di pijak sepanjang masa,” katanya.
Selain itu, kata beliau, PAS Johor terus bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk merealisasikan agenda Muafakat Nasional, khususnya dalam usaha penyatuan umat Melayu dan Islam di negeri Johor.
“PAS Johor yakin dengan penyatuan ini kita mampu mengukuhkan lagi kedudukan di negeri Johor ini. Insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2024