TEMERLOH: Perwakilan negeri Perak, Ustaz Mohd Khalil Yahya, menyuarakan kekecewaan terhadap peranan Malaysia dalam isu antarabangsa, khususnya mengenai Palestin dan ancaman luar negara.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia, yang pernah menjadi juara dalam memperjuangkan hak umat Islam di pentas dunia, kini dilihat lemah dan longlai dalam menangani isu-isu penting tersebut.
Tambahnya, sikap negara-negara Islam, termasuk Malaysia, tidak lagi lantang membela Palestin seperti dahulu.
“Malaysia pernah muncul sebagai negara berkecuali yang tegas dalam isu Palestin dan vokal dalam menangani isu-isu umat Islam, tetapi kini, suaranya tidak lagi dinantikan di peringkat antarabangsa.
“Suatu ketika dahulu, Malaysia berjaya memainkan peranan diplomatik yang kuat, seperti ketika krisis Bosnia, di mana Malaysia mengheret negara-negara berkecuali dan OIC untuk membela penghapusan etnik di Balkan.
“Namun, kerajaan hari ini dikritik kerana sikap retorik politik yang tidak memanfaatkan kepentingan umat Islam, malah bersaing dengan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membantu Palestin,” katanya semasa membahaskan ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, hari ini.
Beliau juga menyentuh tentang kebimbangan terhadap penglibatan syarikat BlackRock, yang mempunyai hubungan rapat dengan Yahudi, dalam pengurusan aset strategik negara seperti lapangan terbang.
Menurutnya, ini mendedahkan Malaysia kepada ancaman terhadap kedaulatan negara.
Dalam isu ancaman perairan negara oleh kapal-kapal China, beliau mengkritik kerajaan yang dianggap tidak bertindak tegas dalam mempertahankan kedaulatan negara. – HARAKAHDAILY 14/9/2024