TEMERLOH: PAS perlu mempunyai panduan dan manual yang jelas untuk mentadbir kerajaan negeri untuk dijadikan rujukan bersama dalam mengisi fasa kemenangan, kata Perwakilan PAS Perlis, Ts Dr Mohd Saifizi Saidon.
“Sebuah kerajaan tidak boleh lari daripada dasar parti. Kerana kemenangan yang membolehkan sesebuah kerajaan terbentuk adalah hasil usaha gigih ahli parti yang mengangkat dasar parti itu,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.
Oleh itu jelasnya, kerajaan tidak boleh sesekali mengabaikan pemegang taruh kemenangan seperti Badan Perhubungan PAS Negeri, PAS Kawasan, PAS Cawangan, Dewan-dewan hingga ke rakyat jelata.
Jelasnya lagi, model parti menguasai kerajaan yang telah dilaksanakan di Kelantan telah terbukti berjaya perlu dilaksanakan secara serius di negeri-negeri lain.
Tegasnya, parti berperanan sebagai pembuat dasar yang menentukan hala tuju kerajaan manakala kerajaan pula pelaksana kepada dasar tersebut untuk mendapat keredaan Allah SWT.
Beliau menyeru PAS mengawal selia kualiti kepimpinan dengan sangat ketat kerana percaya bahawa kualiti kepimpinan adalah prasyarat kemenangan.
Dalam sejarah PAS terangnya lagi, tokoh seperti bekas Ahli Parlimen Parit, Hashim Gera digantung keahlian hanya kerana berjoget menunjukkan betapa pentingnya menjaga kualiti pemimpin sebagai syarat kemenangan.
Beliau menyeru pemimpin dipandu dengan acuan Rasulullah SAW bagi melahirkan pemimpin yang siddiq, amanah, tabligh, fatonah dan mengingatkan agar krisis atau cabaran dihadapi diurus dengan penuh kebijaksanaan, ketegasan dan berprinsip. – HARAKAHDAILY 14/9/2024