Agamawan bersama pemimpin zalim pinda agama Allah

- Advertisement -

TEMERLOH: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, berlakunya krisis yang merosakkan kehidupan manusia berpunca daripada manusia sendiri.

Menurutnya, mereka telah meninggalkan petunjuk Allah dan mencipta aturan sendiri di luar kemampuan akal yang tidak sempurna, sehingga melanggar sempadan fitrah yang ditetapkan oleh Allah.

Tambahnya, ada kalangan agamawan bersama para pemimpin yang jahil dan zalim meminda agama Allah, dan ada yang mencipta agama sendiri.

- Advertisement -

Malah, ujarnya ada juga yang mencipta ideologi dan teori dalam perkara yang tidak diizinkan Allah kerana di luar kemampuan manusia.

“Kita sedang menyaksikan kemunculan golongan pembohong menjadi pemimpin, pengkhianat diberikan amanah, dan si jahil yang berlagak tahu,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, hari ini.

Beliau berkata, semua itu telah diberikan amaran oleh Rasulullah SAW menerusi hadis yang bermaksud: “Akan datang menemui manusia tahun-tahun yang banyak berlaku penipuan. Dianggap benar orang yang berbohong, dan dibohongi orang yang benar. Diberikan amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang yang benar-benar amanah. Dan ketika itu, muncul kalangan Ruwaibidah yang berbicara. Lalu ditanyakan kepada Baginda, ‘Wahai Rasulullah SAW! Siapakah Ruwaibidah itu?’ Sabda Baginda, ‘Orang yang jahil berlagak berbicara dalam perkara besar yang menyentuh masyarakat umum (lalu mengakibatkan kerosakan)”.

Tambahnya, lebih-lebih lagi apabila perkara itu dilakukan oleh orang atasan yang memimpin negara.

Maka, ujar beliau muhasabah wajib dilakukan terhadap negara hari ini yang menunggu giliran kemusnahannya.

Menurut Tuan Guru lagi, mulai daripada krisis politik, ekonomi dan sosial yang makin parah dengan pertambahan kes rasuah dan salah laku, akibat kegagalan mengatasi jenayah dan maksiat yang semakin meningkat, merosakkan kesihatan dan keselamatan.

“Sehinggalah krisis alam sekitar yang merosakkan cuaca dan kehidupan kerana kerakusan mengejar kebendaan dan nafsu melampau dalam semua aspek cara hidup,” ujar beliau.

Justeru, tegas beliau, umat Islam wajib berperanan mengikut perintah Allah, sebagaimana yang diperintahkan dalam firman-Nya dalm Surah Ali ‘Imran, ayat 110 yang bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma‘ruf, dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah”. – HARAKAHDAILY 14/9/2024