Muslimat komited jayakan PAS tadbir Pahang PRU16

- Advertisement -

TEMERLOH: Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia Ke-64 yang berlangsung di Dewan Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini memberi isyarat jelas bahawa PAS bersedia untuk mentadbir Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, menegaskan bahawa Muslimat PAS komited dalam memastikan matlamat ini tercapai.

Dalam sidang media selepas majlis perasmian, Ustazah Nuridah berkata, pengundi wanita kini hampir menyamai bilangan pengundi lelaki, malah di sesetengah kawasan Parlimen, jumlah pengundi wanita lebih ramai.

Beliau yakin Muslimat PAS berperanan besar dalam mencapai hasrat parti untuk memenangi PRU16.

“Insya-Allah, Muslimat sangat komited untuk memastikan cita-cita ini menjadi kenyataan,” ujar beliau pada sidang media turut disertai Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Muktamar kali ini dihadiri oleh 676 perwakilan dari 184 kawasan di seluruh negara dan membawa tema “Bersama Teguh Pertahankan Islam”, yang melambangkan iltizam Muslimat PAS untuk memperjuangkan serta memartabatkan Islam di semua peringkat.

Sebanyak 10 usul telah diterima daripada Dewan Muslimat PAS di peringkat negeri dan kawasan di mana tiga usul diterima untuk dibahas, satu usul diterima tanpa bahas, tiga usul diterima sebagai cadangan dan tiga lagi ditolak.

Selain itu, pihaknya juga menegaskan komitmen mereka dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin, termasuk kempen memboikot produk Israel serta sekutunya dan meneruskan sumbangan kepada Tabung Palestin.

Antara usul yang dibahas dalam muktamar kali ini adalah garis panduan penyiaran di media sosial oleh Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah dan cadangan penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar dari Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor.

Juga usul cadangan penggubalan undang-undang khas berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan. – HARAKAHDAILY 13/9/2024

- Advertisement -