Sindiran KJ terhadap PM cetus perdebatan kebebasan bersuara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu satu video memaparkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) dilihat bercakap secara menyindir Perdana Menteri mengenai peluangnya memenangi Anugerah Bintang Popular (ABP) Berita Harian pada 9 September lepas menggambarkan keseimbangan yang perlu dicapai antara kebebasan bersuara dan sensitiviti politik.

QgenAnalysts dalam kenyataannya berkata, yang mana KJ menggunakan ungkapan seperti ‘hari ini saya menang’ dan ‘saya ulang’, yang dilihat mempermainkan kenyataan Perdana Menteri.

- Advertisement -

“Di mana kenyataan atau gurauan boleh ditafsirkan dengan pelbagai cara. Sebagai sebuah negara demokrasi, penting untuk semua pihak menghargai kebebasan menyuarakan pendapat, sambil mengekalkan suasana perbincangan yang sihat dan konstruktif. 

“Menerima kritikan dengan terbuka, tanpa mengabaikan kepentingan menjaga keharmonian, dapat membantu memperkukuhkan demokrasi dan kepercayaan rakyat terhadap proses politik yang matang,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Video tersebut menurutnya mendapat perhatian meluas dalam kalangan netizen, dengan pelbagai reaksi yang diterima. 

Tambah kenyataan itu, berdasarkan dapatan AI (kecerdasan buatan), daripada 97,000 komen yang dikumpulkan, majoriti netizen cenderung memberikan respon negatif di semua platform media sosial. 

“Antara komen yang dominan adalah bahawa isu ini dilihat sengaja diperbesarkan, dengan beberapa netizen menyatakan Perdana Menteri sebelumnya menghadapi ajukan yang lebih berat. 

“Mereka juga berpendapat bahawa penyokong kerajaan terasa kerana janji pilihan raya masih belum ditunaikan,” ujar kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu QgenAnalysts menyatakan, netizen berpandangan bahawa jika janji-janji tersebut telah dilaksanakan, kata-kata KJ tidak akan memberi implikasi negatif terhadap kerajaan.

“Dari segi interaksi, di Facebook, hantaran Malaysiakini mengumpulkan sebanyak 22,000 interaksi. 

“Di TikTok, interaksi tertinggi adalah dari hantaran KJ sendiri dengan 62,000 interaksi. 

“Sementara itu, di X (dahulu dikenali sebagai Twitter), ciapan daripada @Amshar_Aziz mengumpulkan sebanyak 6,700 interaksi,” kata kenyataan itu. – – HARAKAHDAILY 12/9/2024

- Advertisement -