Rancangan Tempatan: Beri kefahaman kepada rakyat sebelum warta

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Program Publisiti dan Penyertaan Awam merupakan satu peluang kepada semua pihak terutamanya penduduk daerah Hulu Terengganu bagi memberikan pandangan dan maklum balas, menyemak dan meneliti atas kandungan laporan Draf Rancangan Tempatan Daerah Hulu Terengganu, Terengganu 2035 (Penggantian) yang telah disediakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, rancangan tempatan itu merupakan satu bentuk dokumen perundangan bertulis yang akan dijadikan panduan dan rujukan bagi kawalan perancangan di daerah Hulu Terengganu.

“Ini juga satu komitmen kerajaan negeri bagi sentiasa mengambil berat hal ini serta memberikan kefahaman dan penerangan kepada rakyat khususnya penduduk daerah Hulu Terengganu berkaitan rancangan tempatan ini sebelum ianya diwartakan,” ujarnya menerusi catatan di laman sosialnya, hari ini.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian susulan merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Hulu Terengganu, Terengganu 2035 (Penggantian) di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim dan ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail.

Sehubungan itu, Wan Sukairi mengucapkan tahniah atas usaha dan komitmen yang jitu oleh Majlis Daerah Hulu Terengganu, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu (PLANMalaysia Terengganu) dan Pejabat Projek Zon Timur, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) di atas pelaksanaan Draf Rancangan Tempatan Daerah Hulu Terengganu, Terengganu 2035 (Penggantian) serta penganjuran program Publisiti dan Penyertaan Awam itu.

Menurutnya, sebelum ke tempat program, bertemu seketika bersama Pengarah PLANMalaysia Terengganu dan juga Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu bagi mendengar beberapa pemakluman mengenai program itu.

“Di samping itu, kami saling bertukar pandangan dan berbincang hal-hal terkait pembangunan di sini yang memerlukan perhatian,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/9/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -