KUANTAN: Organisasi As-Sabiqun memberikan sumbangan besar dalam membantu kemenangan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Menurut Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Rosli Abdul Jabar, kehadiran As-Sabiqun yang berkempen kepada masyarakat setempat, khususnya golongan seusia mereka, memainkan peranan penting dalam memenangi sokongan di saluran tertentu.
“Saya dapat lihat kalau di DUN saya dulu, saya boleh menang di saluran enam sahaja tapi untuk kali ini semua di saluran satu saya menang.
“Ini saya yakin di antaranya kerana kerja yang dilakukan oleh pihak As-Sabiqun untuk berdakwah kepada masyarakat setempat yang seusia dengan mereka.
“Jadi, alhamdulillah saya melihat keberadaan As-Sabiqun di dalam organisasi parti ini sangat memberikan bantuan kepada PAS bagi mencapai kemenangan demi kemenangan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan penutup di Konvensyen As-Sabiqun 4.0 yang berlangsung di Dewan D’Persada Baroqah, di sini, hari ini.
Hadir sama dalam konvensyen tersebut ialah Pengerusi Sidang As-Sabiqun PAS Pusat, Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed, Pengerusi As-Sabiqun Negeri Pahang, Ismail Mohamed, AJK PAS Pusat, Ustaz Misbahul Munir Masduki, dan Ketua As-Sabiqat Pusat, Hajah Fatimah Ismail.
Terdahulu, Sidang As-Sabiqun PAS Pusat telah membentuk pasukan kempen khas untuk menghadapi PRU16.
Menurut setiausahanya, Mohamad Nor Mohamad, peranan warga emas dalam perjuangan politik semakin penting memandangkan jumlah golongan itu kian bertambah dalam negara. – HARAKAHDAILY 12/9/2024