KULAI: Polis sedang memburu seorang lelaki tempatan kerana mencuba memecahkan tabung masjid di Kampung Felda Bukit Ramun, di sini, dalam kejadian pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Polis (SUPT) Yusof Othman dalam kenyataan pada hari ini, Rabu (11 Sept) berkata, media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi telah mengesan ciapan video tular yang dimuatnaik oleh pemilik akaun X, @update11111 pada jam 9.35 malam.
“Video itu memaparkan seorang lelaki sedang memotong kunci mangga pada tabung masjid seperti di pautan https://x.com/update11111/status/1833389162281501058?S=46.
“Untuk makluman, satu laporan polis telah dibuat oleh imam masjid berkaitan kejadian tersebut dan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini agar tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berdekatan.
“Selain itu, orang ramai juga boleh membuat talian hotline IPD Kota Tinggi di 07-8831222,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/9/2024