KUALA LUMPUR: Sentimen netizen condong ke arah negatif, dengan komen-komen yang mengkritik tindakan kerajaan membuat sekatan DNS (Domain Name System) sebagai langkah kuku besi yang menyekat kebebasan rakyat dalam mengakses maklumat.
QgenAnalyst dalam kenyataannya berkata, ramai pengguna turut mengkritik tindakan kerajaan membuat pengumuman tanpa kajian menyeluruh dan kemudian menarik balik arahan tersebut.
“Walaupun kerajaan mungkin berniat untuk melindungi rakyat daripada laman web berbahaya seperti pornografi dan perjudian, cara pelaksanaannya dikritik.
“Tiada jaminan bahawa laman web yang tidak menyebelahi kerajaan tidak akan disekat, dan pengalihan ini dilihat kurang akauntabiliti terhadap pihak yang menyekat.
“Dalam era digital yang semakin canggih, langkah seperti ini seharusnya disertakan dengan perbincangan terbuka dan pelan komunikasi yang jelas, agar masyarakat dapat memahami rasional di sebalik tindakan pengalihan tersebut,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, DNS (Domain Name System) adalah seperti buku telefon untuk internet dan apabila pengguna ingin ke satu laman web, sebagai contoh www.google.com, DNS akan mencari alamat sebenar (alamat IP) laman tersebut tanpa perlu pengguna mengingat nombor IP laman tersebut.
Pada 4 dan 5 September lalu dilaporkan media tempatan terdapat dakwaan bahawa Malaysia sedang melaksanakan tapisan DNS, di mana semua laluan internet mesti melalui DNS khusus sebelum dapat mengakses laman yang dikehendaki.
Pada 6 Septembe pula, Menteri Komunikasi dilaporkan menyatakan bahawa sekatan itu bertujuan untuk menghalang akses kepada laman web pornografi dan judi atas talian, sambil menegaskan bahawa tiada niat untuk menyekat kebebasan rakyat.
QgenAnalysts berkata, suatu yang jarang terjadi dalam dapatan AI (kecerdasan buatan) apabila kebanyakan komen netizen datang dari X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter).
“Sebanyak 44,000 komen secara keseluruhan berkenaan topik ini dan majoritinya datang dari X (94 peratus) manakala TikTok dan Facebook masing-masing menyumbang sebanyak 3 peratus,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/9/2024