KOTA BHARU: Kontinjen Para Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan menyasarkan 17 pingat emas, 13 perak dan lapan gangsa pada temasya di Sarawak yang akan diadakan 22 hingga 28 September ini.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakshari Muhamad berkata, cabaran tersebut akan digalas 48 atlet dengan diiringi 31 pegawai sukan.
Katanya, atlet para SUKMA Kelantan akan mengharungi tujuh acara yang dipertandingkan iaitu badminton, catur, boccia, boling padang, ping pong, angkat berat dan olahraga.
“Insya-Allah kita akan menghantar seramai 48 orang atlet yang akan menyertai para SUKMA untuk tujuh acara yang dipertanding,” katanya ketika ditemui di Kompleks Belia dan Sukan hari ini.
Sebelum itu Zamakshari meninjau persiapan atlet Para SUKMA Kelantan bagi menghadapi acara dwi-tahunan terbabit.
Para SUKMA yang akan diadakan di Sarawak bakal disertai lebih 1,500 atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) dari seluruh negara.
Oleh itu Zamakshari berharap kontinjen Kelantan dapat memperbaiki pencapaian berbanding tangga kesembilan pada Para SUKMA ke-20 yang diadakan di Kuala Lumpur dua tahun lalu.
“Rekod pencapaian atlet para SUKMA sangat baik jadi kita harap mereka dapat mengekalkan momentum itu dengan pencapaian lebih baik kali ini.
“Harapan kita dalam tempoh berbaki sekarang berlatih bersungguh-sungguh dan melakukan persiapan sebaiknya di samping tidak lupa doa dan tawakal,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/9/2024