1,350 calon SPM, STAM sertai Tuisyen Rakyat Sejahtera

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melancarkan Program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) percuma secara rasmi hari ini yang melibatkan peruntukan sebanyak RM477,000.

Tuisyen percuma itu melibatkan pelajar yang akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Program yang akan bermula Oktober ini di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan semua pelajar termasuk sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM10,600 bagi setiap DUN untuk melaksanakan program tersebut.

Katanya seramai 1,350 pelajar iaitu 30 pelajar bagi setiap DUN akan dipilih menyertai program berkenaan dalam tempoh tiga bulan.

“Program ini adalah sebahagian agenda kebajikan yang dilaksanakan  kerajaan negeri dalam bidang pendidikan.

“Tuisyen percuma merangkumi mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan kecemerlangan peperiksaan dan pelajar ke Timur Tengah serta perasmian program Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan 2024.

Perasmian disempurnakan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, diadakan di Dewan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Kata Wan Roslan peperiksaan SPM akan bermula pada Januari 2025 dan ia merupakan cabaran besar buat anak-anak yang berada di tingkatan lima.

Tambahnya, tempoh yang ada sekarang terlalu singkat memerlukan usaha luar biasa digerakkan segera bagi membantu pelajar terbabit.

Menurutnya juga atas sebab itulah YIK dan Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin) serta semua Pusat Khidmat DUN mewujudkan program kecemerlangan peperiksaan SPM dan STPM. – HARAKAHDAILY 11/9/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -