Serangan pisau IS: Jerman ketatkan kawalan di semua sempadan darat

Kawalan ketat di kesemua sempadan darat Jerman dengan negara-negara jirannya akan diperketatkan bermula 16 September 2024. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

BERLIN: Kerajaan Jerman mengumumkan rancangan untuk mengenakan kawalan lebih ketat di semua sempadan darat negara itu dalam apa yang dilabelkan sebagai ‘percubaan untuk menangani penghijrahan yang tidak teratur dan melindungi orang ramai daripada ancaman seperti golongan ekstremisme Islam’.

Menteri Dalam Negeri Nancy Faeser pada hari ini, berkata, kawalan dalam kawasan yang biasanya merupakan kawasan pergerakan bebas yang luas – zon Schengen Eropah – akan bermula pada 16 September ini dan pada mulanya berlangsung selama enam bulan.

“Kerajaan juga telah merangka satu skim yang membolehkan pihak berkuasa menolak lebih ramai pendatang terus di sempadan Jerman,” kata Faeser, tanpa menambah butiran mengenai langkah kontroversi dan penuh undang-undang itu.

- Advertisement -

Sekatan itu adalah sebahagian daripada siri langkah yang diambil oleh Jerman untuk mengukuhkan pendiriannya terhadap penghijrahan yang tidak teratur sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan lonjakan ketibaan, khususnya mereka yang melarikan diri dari peperangan dan kemiskinan di Timur Tengah.

Kerajaan Canselor Olaf Scholz sedang berusaha untuk merebut kembali inisiatif daripada pembangkang sayap kanan dan konservatif, yang menyaksikan sokongan meningkat apabila mereka memanfaatkan kebimbangan pengundi mengenai perkhidmatan awam, integrasi dan keselamatan yang meluas.

“Kami mengukuhkan keselamatan dalaman dan meneruskan garis keras kami terhadap penghijrahan yang tidak teratur,” kata Faeser, sambil menyatakan kerajaan telah memberitahu Suruhanjaya Eropah dan negara jiran tentang kawalan yang dimaksudkan.

Jerman berkongsi sempadan darat dengan Denmark, Belanda, Belgium, Luxembourg, Perancis, Switzerland, Austria, Republik Czech dan Poland. (FOTO: Maps.com)

Serangan pisau maut baru-baru ini di Jerman dilaporkan membabitkan suspek yang merupakan pencari suaka telah mencetuskan kebimbangan terhadap imigresen. 

Kumpulan militan dan pengganas Islamic State (IS) yang menggunakan nama Islam dalam proses fitnah bertujuan ‘membusukkan’ Islam, mengaku bertanggungjawab atas serangan pisau di bandar barat Solingen yang mengorbankan tiga orang pada Ogos tahun ini.

Pakar migrasi berkata, kritikan semakin lantang terhadap kerajaan Jerman sejak ia menerima  lebih sejuta orang yang kebanyakannya melarikan diri dari negara yang dilanda perang seperti Syria ketika krisis pendatang 2015/2016.

Negara dengan populasi 84 juta orang itu mencapai titik kritikal selepas ia secara automatik memberikan suaka kepada kira-kira sejuta rakyat Ukraine yang melarikan diri daripada perang negara itu dengan Rusia pada 2022, walaupun ketika itu Jerman sendiri sedang bergelut melalui krisis tenaga dan ekonomi.

Berlin pada tahun lalu telah mengumumkan kawalan yang lebih ketat di sempadan daratnya dengan Poland, Republik Czech dan Switzerland.

Jerman berkongsi sempadan darat lebih 3,700 kilometer (2,300 batu) dengan Denmark, Belanda, Belgium, Luxembourg, Perancis, Switzerland, Austria, Republik Czech dan Poland. -Agensi/– HARAKAHDAILY 10/9/2024