Pensijilan halal salur sumbangan besar ekonomi negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pensijilan halal di Malaysia bukan sekadar memenuhi tuntutan agama Islam tetapi ia telah memberikan sumbangan besar kepada ekonomi negara.

Pengerusi Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia), Mohammad Rosharizan Mohd Rozlan berkata, persijilan halal bukan sekadar isu agama tetapi ia juga menyokong ekosistem ekonomi negara.

- Advertisement -

“Sistem pensijilan halal yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diiktiraf sebagai salah satu yang terbaik di dunia, membuka peluang bagi produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pensijilan Halal ini merangkumi pelbagai sektor seperti makanan, farmaseutikal, dan logistik, yang menjana peluang pekerjaan serta meningkatkan eksport negara.

Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan

“Oleh itu, dalam meneliti gelombang bertali arus yang cuba merungkai Islam serta institusinya untuk sekian kalinya, Anak Malaysia menegaskan bahawa sistem ini perlu diperkasa, bukannya dipersoal.

“Mana-mana usaha mempertikaikan keberkesanan sistem halal ini, sedarilah bahawa ia boleh menjejaskan keyakinan pengguna serta merugikan negara,” katanya.

Dalam pada itu juga, beliau berkata, semua pihak perlu memperkukuh kesedaran tentang kepentingan persijilan Halal dan membantu pengusaha kecil serta sederhana dalam memenuhi piawaian halal.

“Justeru, Anak Malaysia menyeru supaya semua pihak menyokong usaha memperkasakan industri halal di Malaysia, yang tidak hanya membawa kebaikan dari segi agama tetapi juga membantu pertumbuhan ekonomi negara.

“Sebarang cubaan mempertikaikan sistem ini harus ditolak, dan tindakan sewajarnya perlu diambil untuk menjaga keharmonian dan keutuhan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/9/2024