Gaza: Mangsa maut genosid Zionis Israel cecah 40,988

Dalam tempoh 24 jam lalu, tentera Zionis Israel menyasarkan empat peluru berpandu di penempatan perkhemahan berhampiran Khan Younis di Al-Mawasi, sebuah kawasan yang ditetapkan sebagai zon kemanusiaan di Semenanjung Gaza, menyebabkan puluhan nyawa terkorban. (FOTO: Daily News Egypt)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Kementerian Kesihatan Gaza dalam kenyataan yang dikeluarkannya pada Isnin mengesahkan seramai 40,988 orang awam terkorban sepanjang konflik Israel-Hamas yang bermula sejak 12 bulan lalu.

Kenyataan itu turut memaklumkan sepanjang 24 jam lalu, tentera Israel telah membunuh 40 mati syahid dan mencederakan 64 yang lain, menjadikan jumlah kematian kepada 40,988 dan kecederaan kepada 94,825 yang lain sejak konflik bermula pada 7 Oktober 2023, lapor Al Arabiya.

- Advertisement -

Penduduk dan pegawai perubatan berkata, kawasan perkhemahan berhampiran Khan Younis di kawasan Al-Mawasi, sebuah kawasan yang ditetapkan sebagai zon kemanusiaan telah terkena bedilan sekurang-kurangnya empat peluru berpandu.

Serangan itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 20 khemah terbakar, dan turut menyebabkan kawah sedalam 9 meter, lapor perkhidmatan kecemasan awam Gaza.

“Pasukan kami masih mengeluarkan individu yang syahid dan cedera dari kawasan sasaran. Ia kelihatan seperti pembunuhan beramai-ramai baru Israel.

“Pasukan sedang bergelut untuk mencari mangsa yang mungkin telah tertimbus,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) berkata dalam satu kenyataan akhbar bahawa pasukannya di utara Gaza telah menghadapi kekurangan bekalan bahan api yang teruk selama hampir tiga minggu. 

PRCS menunjukkan bahawa mereka kini beroperasi pada kapasiti minimum, memburukkan lagi krisis kemanusiaan dan kesihatan di kawasan itu.

Sejak permulaan konflik Israel-Hamas di Gaza, tentera Israel telah menyasarkan kemudahan perubatan dan hospital di pelbagai kawasan di Semenanjung itu dengan serangan berterusan, yang telah membawa kepada kemusnahan sistem kesihatan, bencana kemanusiaan, dan kemerosotan infrastruktur tersebut. -Agensi/– HARAKAHDAILY 10/9/2024

- Advertisement -