Isu Teresa Kok: ‘Ketegasan PDRM tanpa campur tangan politik’

Syed Hassan (kanan) dan CheguBard dalam sidang media di hadapan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada hari ini, 9 September 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Saya ingin melihat ketegasan Ketua Polis Negara dalam isu Teresa Kok ini kerana kami semua ingin pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) betul-betul menjalankan tugas yang memang tidak ada tekanan daripada mana-mana parti politik.”

Itu penegasan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Syed Hassan Syed Ali Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Syed Hassan Syed Ali, susulan tularnya satu kenyataan Teresa Kok yang juga Naib Presiden DAP, yang mendakwa bahawa mewajibkan sijil halal hanya akan menambah beban pengguna dan memalukan negara ini.

- Advertisement -

“Takkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok masih tak faham soal isu sensitiviti tentang agama Islam ini?” katanya dalam sesi sidang media di hadapan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Dang Wangi, di sini, hari ini.

“Kalau nak cakap perkara sebegini mengenai pihak bukan Melayu pun tidak perlu sampai mengeluarkan kenyataan yang boleh sakitkan hati orang-orang Melayu.

“Lagipun, ini yang buat kita marah apabila beliau melakukan perkara sedemikian,” tambahnya.

Turut hadir ialah Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA),  Badrul Hisham Shaharin (CheGuBard).

Menurut Syed Hassan lagi, soal isu mewajibkan sijil halal masih lagi di bawah cadangan dan belum diputuskan oleh Menteri Agama dalam negara ini.

Tambah beliau, seharusnya kenyataan yang dikeluarkan Teresa Kok tidak berbentuk sebarang penghinaan.

“Namun begitu, apa yang berlaku adalah beliau terus melakukan macam-macam penghinaan terhadap cadangan tersebut.

“Beliau siap boleh menyatakan bahawa wajibkan sijil halal akan memalukan negara lagi.

“Perkataan tersebut seolah-olah ingin menunjukkan bahawa agama Islam ini melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya kepada kaum lain.

“Perkataan sebegitu juga yang menimbulkan kemarahan daripada kami semua,” ujarnya.

Sehubungan itu, Syed Hassan menyatakan seharusnya kerajaan tidak boleh membiarkan perkara sebegini untuk terus berlaku.

“Ini kerana kenyataan yang dilakukan oleh Teresa Kok boleh menimbulkan isu perkauman di negara ini. – HARAKAHDAILY 9/9/2024