KUALA LUMPUR: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka akan berlaku di negeri Sarawak.
Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya berkata, antara kawasan negeri Sarawak yang terlibat ialah Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu (Selangau), Mukah (Dalat dan Mukah) dan Bintulu (Tatau).
“Cuaca tersebut dijangkakan berlaku sehingga ke jam 12 tengah hari ini.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” ujarnya melalui kenyataan di Facebook, hari ini.
MetMalaysia menambah amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
MetMalaysia turut menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. – HARAKAHDAILY 9/9/2024