KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa agar menangkap dan mendakwa Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim di bawah peruntukan undang-undang 3R atas kenyataannya berkaitan dengan sijil Halal untuk restoran dan kedai makan baru-baru ini.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin menegaskan bahawa jelas kenyataan Teresa itu merupakan satu penghinaan kepada agama Islam di negara ini.
“Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS menyelar kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang menyatakan cadangan mewajibkan sijil halal akan menambah beban peniaga dan memalukan negara.
“Ini adalah kenyataan yang sangat biadap yang berupa penghinaan terhadap agama Islam dan jelas ia merupakan provokasi yang sengaja dibuat bagi mencetuskan sensitiviti agama Islam di negara ini,” katanya.
Ahli Parlimen Jerantut itu menegaskan, PAS menggesa supaya Teresa ditangkap dan didakwa di bawah peruntukan undang-undang 3R kerana itu jelas merupakan satu penghinaan kepada agama Islam di negara ini.
“Teresa bukanlah pemimpin yang baru sehari dua menjadi Ahli Parlimen dan kenyataan seperti ini jelas berniat menggugat sensitiviti umat Islam di negara ini.
“Sekali lagi PAS memberi amaran supaya DAP tidak mencetuskan sebarang bentuk provokasi berkaitan agama kerana ia adalah sangat sensitif serta boleh menggugat keharmonian kaum dan agama di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Harakahdaily hari ini.
Teresa dalam satu kenyataan yang dilapor media massa berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil Halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan, beban kepada perniagaan kecil dan boleh memalukan negara.
Teresa berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar sebelum itu yang menyatakan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal. – HARAKAHDAILY 8/9/2024