KUALA TERENGGANU: Lebih 90 peratus rumah sembelih di Australia ada sijil halal, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim.
“Saya tanya, sebab apa perlu ada sijil halal? Jawabnya, tanpa sijil halal pasaran akan jadi sempit,” ujarnya menerusi satu catatan di laman Facebook beliau.
Katanya, orang di negara maju macam Australia melihat sijil halal sebagai peluang pasaran yang perlu dimanfaatkan.
“Di negara kita, baru ada 40 kerusi Parlimen sudah menganggap keperluan sijil halal sebagai membebankan peniaga dan memalukan negara,” katanya yang pernah mengikuti lawatan ke negara Hemisfera Selatan itu pada Julai 2022. (Foto atas dan bawah)
Beliau yang Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menyatakan demikian susulan kenyataan Teresa Kok mengenai sijil halal.
Kelmarin, Naib Presiden DAP itu berkata cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.
Teresa juga mendakwa pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambahkan kos pentadbiran.
Khamis lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan di negara ini memiliki sijil halal kecuali restoran yang menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol. – HARAKAHDAILY 8/9/2024